Masjid Besar Algeria, masjid ke-3 terbesar di dunia telah dibuka secara rasmi

Dikemas Kini: 31 Oktober 2020
Surga Route

Walaupun pembangunan di seluruh dunia seperti terencat akibat pandemik COVID-19 yang melanda, namun masih ada berita baik buat Ummat Islam terutamanya di benua Afrika apabila sinar Islam di sana semakin berkembang. Terbaru, masjid ke-3 terbesar di dunia telah bertukar milik dari Masjid Imam Ali di Iraq kepada sebuah masjid baru di Algeria, benua Afrika.

Jika keadaan semakin pulih dan anda mempunyai peluang untuk kembali mengembara hingga ke bumi Afrika, jangan lepaskan peluang bagi mengunjungi masjid ke-3 terbesar dunia dan paling besar di Afrika iaitu MASJID BESAR ALGERIA di Algiers! Menurut Kementerian Kewangan negara tersebut, kos pembinaan masjid ini adalah melebihi AS$ 1 Billion (Melebihi RM4.16 Billion).

Kerja-kerja pembinaannya melibatkan masa selama tujuh tahun dan siap pada April 2019 tiga tahun di belakang jadual asal dan syarikat yang membinanya ialah Kejuruteraan Pembinaan Negara China (CSCEC) yang membawa masuk buruh dari negara tersebut.

Dikenali sebagai Djamaa ElDjazair, struktur moden bangunan tersebut seluas 27.75 hektar itu menduduki tempat ketiga sebagai masjid terbesar di belakang Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi. Mana tidaknya, masjid ini dianggarkan dapat menampung sehingga 120,000 jemaah pada satu-satu masa. Fuh ! Tapi disebabkan penjarakan fizikal yang perlu dilakukan akibat COVID-19, mungkin kapasiti masjid berkurang sedikit. Namun, jumlah sebenar kapasiti semasa COVID-19 masih belum dapat dipastikan.

Masjid itu mempunyai menara setinggi 267 meter iaitu tertinggi di dunia serta dilengkapi dengan lif dan terdapat platform menghadap pemandangan ibu kota Algeria dan Teluk Algiers. Sebelum ini menara masjid yang tertinggi ialah di bandar raya Casablanca, Maghribi iaitu setinggi 210 meter.

Selain gah dari luaran, ruang dalaman masjid itu juga tidak kurang hebatnya apabila menerapkan elemen seni bina Andalusia serta dihiasi dengan kayu, marmar dan batu putih.

Ia diharapkan menjadi pusat penyelidikan dan kebudayaan teologi dan turut mengandungi sebuah perpustakaan yang boleh memuatkan satu juta buku.

Namun, bagi para pengkritik, masjid itu merupakan satu projek sia-sia dan simbol kepada khayalan bekas Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika yang terpaksa meletakkan jawatan pada April tahun lalu selepas tunjuk perasaan besar-besaran berhubung pemerintahan autokratnya selama dua dekad.

Presiden negara itu, Abdelmadjid Tebboune sepatutnya hadir bagi merasmikan dewan solat masjid berkenaan yang mampu memuatkan seramai 120,000 jemaah menjelang sambutan keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Abdelmadjid Djerad dan pegawai kerajaan merasmikan dewan solat masjid tersebut bagi mewakili Tebboune. Ia adalah disebabkan Presiden Algeria dimasukkan ke sebuah hospital disyaki dijangkiti koronavirus (Covid-19).

Sebelum ini, Tebboune menjalani kuarantin kendiri seminggu sebelum laporan beliau disyaki dijangkiti Covid-19.

1.5 2 votes
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram