0
(0)

Masjid adalah sebuah institusi yang amat penting dalam pembangunan Islam dan umatnya. Masjid telah menjadi pusat ibadah kepada seluruh ummat Islam. Selain itu, ia juga merupakan pusat kebudayaan, muamalat, dan perkembangan dakwah Islamiah, serta pusat aktiviti ummat Islam.

Disini kami senaraikan buat anda, antara masjid yang mempunyai sejarah besar dalam perkembangan Islam , dan juga tiga masjid yang paling utama untuk dilawati.

Masjid Al-Qarawiyyin , Fez

Masjid Al-Qarawiyyin yang terletak di Fez, Maghribi adalah salah satu bukti besar menunjukkan Islam adalah pelopor dalam dunia keilmuan moden seterusnya membangunkan peradaban. Sebenarnya, Masjid Al-Qarawiyyin ini adalah sebuah universiti. Namun, bukan universiti sebarangan.

KEISTIMEWAAN: Universiti al-Qarawiyyin sebenarnya adalah pemegang rekod dunia GUINNESS dan diiktiraf UNESCO sebagai institusi pengajian tinggi tertua di dunia ! Universiti ini telah diasaskan pada tahun 859 Masihi dan masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Apa yang lebih mengagumkan, pengasas universiti ini adalah seorang wanita bernama Fatima binti Muhammad Al-Fihriya Al-Qurashiya (atau lebih dikenali sebagai Fatima al-Fihri ). Jadi, bagaimana cerita Masjid boleh jadi cerita Universiti?

Begini, pada tahun 859 M , Fatima al-Fihri menggunakan harta yang diwarisi dari ayahnya untuk membina sebuah masjid buat komuniti, disekalikan dengan pusat pengajian, digelar madrasa. Pada awalnya, pusat pengajian ini hanya untuk ilmu-ilmu agama seperti tafsir,hadith,fiqh dan sebagainya. Namun, pusat pengajian ini terus berevolusi saban tahun hinggalah menjadi universiti.

Di universiti ini juga terletaknya perpustakaan tertua di dunia. Dikatakan lebih 4,000 koleksi kitab lama dan manuskrip milik sarjana terkenal disimpan di perpustakaan ini. Antaranya adalah teks asal kitab 'Muqaddimah' yang ditulis tangan oleh Ibn Khaldun.

Jadi, jika ada orang mengatakan Islam tidak mementingkan pelajaran, ingatlah universiti pertama & yang masih wujud hingga kini dibina oleh orang Islam.

Jika ada yang katakan perempuan tak perlu masuk universiti & cukup sekadar di dapur. Ketahuilah, universiti pertama itu diasaskan oleh seorang wanita.

Untuk menziarahi masjid yang cukup bersejarah ini, anda perlu ke bandar Fez, iaitu bandar ke-2 terbesar di Maghribi selepas Casablanca.


Masjid Umawi , Damsyik

Masjid Umawi , Masjid Umaiyah atau Masjid Agung Damsyik , anda boleh pilih mahu sebut yang mana. Masjid ini telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Umawi al-Walid bin Abdul Malik, Khalifah Kerajaan Umaiyah pada tahun 86 Hijrah (705 M) di bandar Damsyik, Syria yang merupakan Ibu Kota pemerintahan kerajaan bani Umaiyah pada waktu tersebut . Ini sekaligus menjadikan masjid ini sebagai antara masjid tertua di dunia.

Masjid ini dibina di atas tanah yang sudah beribu-ribu tahun menjadi pusat peribadatan. Pada awalnya, tempat ini adalah lokasi bangsa Aram menyembah Dewa Hadad. Di awal abad Masihi, tempat ini telah berubah menjadi tempat ibadah penyembah Dewa Jupiter ad-Dimasqi. Semasa perkembangan agama kristian di Damsyik pula, kawasan ini adalah merupakan gereja yang dinamakan 'St. John the Baptist Basilica'.

Selepas kemasukan Islam di Damsyik, kawasan ini dikongsi bersama oleh masyarakat Islam dan Kristian yang melakukan ibadah bersebelahan dan hanya dipisahkan oleh dinding pemisah sehingga pada705M , Khalifah Umawi membuat keputusan untuk mendirikan masjid di situ.

KEISTIMEWAAN : Selain daripada menjadi masjid utama semasa zaman pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah, masjid ini adalah lokasi terletaknya makam nabi Yahya A.S. Bagaimanapun, dipercayai hanya kepalanya sahaja yang dimakamkan disitu.Pejuang Islam Salahuddin Al-Ayubi juga dimakamkan disini. Lebih panjang mengenai masjid ini boleh dibaca disini.


Masjid Al-Ijabah, Madinah

Di Arab Saudi , ada 2 Masjid Ijabah, 1 di Mekah & 1 lagi di Madinah. Tapi, yang kami maksudkan disini ialah Masid Ijabah di Madinah. Ia terletak sekitar 385 meter disebelah timur Masjid Nabawi.

KEISTIMEWAAN : Pernah tak anda mendengar kisah Nabi SAW melakukan solat dua rakaat dengan doa yang sangat panjang dan para sahabat pun turut solat bersama. Selesai Rasulullah SAW bersolat, baginda berpaling kepada sahabatnya dan bersabda:

"Aku telah meminta kepada Tuhanku tiga perkara, dikabulkan dua dan ditolak satu (iaitu) aku memohon kepada-Nya agar Tuhanku tidak membinasakan umatku dengan bencana kemarau maka Tuhanku mengabulkannya, dan aku meminta-Nya untuk tidak menghancurkan umatku dengan bencana tenggelam maka Tuhanku mengabulkannya, lalu aku memohon kepada Tuhanku untuk tidak terjadi derita kerana permusuhan di antara mereka, maka Tuhanku menolaknya".

(HR. Muslim)

Sebenarnya, disinilah lokasi peristiwa tersebut berlaku. Masjid Ijabah ini merupakan salah-satu lambang, bukti dan saksi betapa cintanya Rasulullah kepada Ummatnya dengan mendoakan Ummatnya.


Masjid Dzulhulaifah (Bir Ali), Madinah

Terletak kira--kira 11 Kilometer dari Madinah, dan sekitar 450 Kilometer ke Mekah , adalah Masjid Dzulhulaifah , atau ramai menyebut Masjid Bir Ali.

Masjid ini dibina pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz memerintah Madinah (87-93 H). Kemudian ia dilakukan pengubahsuaian pada zaman Abbasiyah dan pengubahsuaian seterusnya dilakukan ketika pemerintahan Uthmaniyah, iaitu ketika pemerintahan Sultan Mehmed IV (1058-1099 H). Selepas itu Raja Fahd bin Abdul Aziz memerintahkan untuk mengubahsuai dan membangun serta melakukan perluasan masjid.

Disebabkan jumlah jemaah haji dan umrah yang semakin meningkat, masjid ini telah diperbesarkan beberapa kali dan dibina kemudahan yang diperlukan, sehinggalah masjid menjadi tempat persinggahan bagi para jemaah yang bermusafir. Masjid ini turut menyediakan ruangan untuk menggantikan kain ihram dan tempat wudhuk.

KEISTIMEWAAN : Walaupun masjid ini hanya dibina ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz , tetapi tapak ini telah pun disinggah oleh nabi Muhammad SAW. Kawasan ini , sebenarnya bermula sebagai tempat Rasulullah SAW berteduh dan memakai ihram sebelum menuju ke Makkah untuk melakukan Umrah dari Madinah. Nabi SAW pula menetapkan miqat umrah untuk Ummatnya dari Madinah disini.

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَّتَ لِأَهْلِ الْمَدِينَةِ ذَا الْحُلَيْفَةِ وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الْجُحْفَةَ وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الْمَنَازِلِ وَلِأَهْلِ الْيَمَنِ يَلَمْلَمَ هُنَّ لَهُنَّ وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah menetapkan miqat bagi penduduk Madinah di Zulhulaifah, bagi penduduk Syam di al-Juhfah, bagi penduduk Najd di Qarn al-Manazil dan bagi penduduk Yaman di Yalamlam. Itulah miqat bagi mereka dan sesiapa yang melintasi Kawasan selain dari mereka untuk sesiapa yang mahu menunaikan haji dan umrah. Sesiapa yang selain dari itu, maka ia berihram dari tempatnya sehinggalah penduduk Mekah berniat ihram dari Mekah.”

Riwayat al-Bukhari (1524)

Walaubagaimanapun, sejarah mengenai nama masjid ini kami tidak dapat berikan informasinya disini kerana terdapat pelbagai penisbahan. Masjid Jum'ah, Madinah


Masjid Qiblatain, Madinah

Masjid Qiblatain terletak 7 Km dari Masjid Nabawi. Pada awalnya, Masjid ini bernama Masjid Bani Salamah, kerana Masjid ini dibina di atas bekas rumah Bani Salamah.

KEISTIMEWAAN : Masjid ini dinamakan sebagai Masjid Qiblatain yang bermaksud masjid dengan dua kiblat. Eh? Masjid ini mempunyai dua kiblat serentak ker ? Tidak.

Pada awal kelahiran Islam syariat nabi Muhammad SAW, kiblat Ummat ketika itu adalah kepada Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis. Namun, Allah perkenankan permintaan nabi Muhammad SAW untuk ditukarkan kiblat ke arah Kaabah. Di masjid inilah solat dengan kiblat yang baru pertama kali diadakan. Sebab itu, dia dinamakan dua kiblat. Pada awalnya ke arah Al-Aqsa, kemudian ke arah Baitullah.


Masjid Quba, Madinah

Masjid Quba’ dibina pada tahun 1 Hijrah atau 622 Masihi. Ia terletak di sebelah tenggara kota Madinah dan hanya kira-kira lima kilometer dari Masjid Nabawi.

KEISTIMEWAAN : Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina di dunia dalam sejarah Islam Syariat Nabi Muhammad SAW . Masjid Quba dibina oleh Baginda SAW dengan bantuan Khalifah Abu Bakar RA bersama-sama Para Sahabat RA Madinah atau kaum Ansar.

Nabi Muhammad SAW dipercayai berada di masjid Quba lebih dari 20 malam selepas tiba dari berhijrah dan sambil menunggu ketibaan Khalifah Ali RA dari Makkah membawa berita dari sana.

Selain itu, ganjaran bersolat di Masjid Quba adalah berbeza berbanding masjid kebiasaan dan disebutkan secara khusus oleh nabi Muhammad SAW.

Sahl ibn Hunaif RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءٍ فَصَلَّى فِيهِ صَلاَةً كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ

MaksudnyaSesiapa yang bersuci di rumahnya, dan datang ke masjid Quba’ kemudian solat, maka pahalanya seumpama pahala mengerjakan umrah.

Riwayat Ibn Majah (1412)

Maka, beruntunglah sesiapa yang dapat bersolat di masjid Quba, masjid pertama yang dibina oleh nabi Muhammad SAW.

Sebenarnya ada lebih banyak masjid-masjid yang mempunyai kisah sejarah terutamanya di Madinah. InsyaAllah kami akan buatkan artikel berkenaan masjid bersejarah khusus di Madinah.

Namun begitu, kesemua masjid yang diatas tidak mempunyai keutamaan seperti 3 masjid di bawah ini. Malah, nabi Muhammad SAW melarang ummatnya untuk bersusah-payah mengembara ke masjid, selain daripada 3 yang di bawah ini .


Masjid Al-Aqsa , Baitul Maqdis

KEISTIMEWAAN: Masjid Al-Aqsa sangat penting bagi ummat Islam kerana ia adalah merupakan adalah kiblat pertama umat Islam, juga merupakan saksi berlakunya peristiwa agung Israk dan Mikraj. Peristiwa ini tercatat di dalam Al-Quran, Surah Al-Israa' , ayat 1 :

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Surah Al-Israa' : ayat 1

Dipetik dari segmen Irsyad Al-Hadith siri #388 , Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan :

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya yang masyhur, masjid al-Aqsa di dalam surah al-Isra’ ini adalah Bait al-Maqdis. Dinamakan masjid al-Aqsa adalah disebabkan jaraknya yang jauh daripada masjid al-Haram. Adapun, ia juga merupakan masjid yang paling jauh daripada ahli Makkah di atas muka bumi ini yang dituntut atau disyariatkan bagi kita untuk menziarahinya. [Lihat: Tafsir al-Munir, 13/15]

rujukan penuh disini

Masjid Nabawi , Madinah

KEISTIMEWAAN : Masjid Nabawi merupakan sebuah masjid yang mulia kerana terdapat kelebihan yang tidak ada pada masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram. Ini dijelaskan berdasarkan sebuah hadith yang sahih.

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram”.

[Riwayat Muslim (1394)]

Di samping itu juga, kita dituntut untuk tidak menyusahkan diri dalam bermusafir melainkan pada tiga buah masjid sahaja iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan juga masjid al-Aqsa berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”. 

[Riwayat al-Bukhari (1189)]

Selain itu terdapat hadith lain mengenai kelebihan Masjid Nabawi, bagaimanapun terdapat khilaf penerimaan hadith tersebut di kalangan ulama' (rujuk disini). Walaubagaimanapun, dua hadith sahih yang disebutkan tadi jelas menunjukkan Masjid Nabawi adalah masjid ke-2 terutama di dalam Islam, selepas Masjid Al-Haram.

Masjid Al-Haram, Mekah

KEISTIMEWAAN : Di masjid ini terletaknya baitullah atau dinamakan Ka'bah, iaitu rumah Allah yang menjadi arah kiblat bagi seluruh umat Islam apabila mengerjakan ibadah solat. Selain itu juga, nama masjid al-Haram adalah tempat yang mulia kerana namanya dinukilkan di dalam al-Qur’an di beberapa tempat, antaranya:

  • Firman Allah SWT :

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ

Maksudnya: “Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalang manusia dari jalan Allah (agama Islam) dan dari memasuki Masjid al-Haram (Makkah) yang Kami jadikan ia sebagai tempat beribadah bagi seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang menetap di situ atau yang datang berziarah”. [al-Haj:25]

Surah Al-Haj : ayat 25

Imam Ibn Kathir mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjadikan ia (masjid al-Haram) sebagai tempat ibadah bagi semua manusia dan tidak ada perbezaan antara yang bermukim di tempat tersebut ataupun orang yang tinggal jauh dari tempat tersebut. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 409/5]

Selain itu, kelebihan bersolat di Masjidil Haram disebutkan oleh Rasulullah SAW. Antaranya diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. 

[Riwayat Ahmad (15271)] [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad]

Maka terbuktilah bahawa Masjid Al-Haram mempunyai kemuliannya tersendiri, bacaan lanjut disini.

Semoga Allah merezekikan kita untuk menjadi tetamu-Nya di masjid-masjid ini. Amin

Lebih banyak artikel menarik disini

Artikel Ini Menarik?

Klik pada bintang untuk menilai!

Purata 0 / 5. Vote count: 0

No votes so far! Be the first to rate this post.

0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Selamat Datang ke Surga Route. Kami suka berkongsi pengalaman menjelajah seluruh dunia.
Shop Online for 31% off Purchase, Get 20RM Promo Code
18 October 2020
3 lagi syarikat penerbangan antarabangsa kembali beroperasi di KLIA

0 (0) Tiga syarikat penerbangan antarabangsa telah kembali beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumput (KLIA) bermula pada Oktober 2020 setelah menghentikan seketika operasi mereka akibat wabak pandemik COVID-19. Syarikat penerbangan tersebut ialah British Airways yang menawarkan empat penerbangan seminggu dari KLIA ke United Kingdom, Oman Air yang membuat penerbangan dua kali seminggu ke Muscat […]

Selanjutnya
17 October 2020
Firefly akan menggunakan jet bermula Q1 2021, perkukuh laluan domestik dan ASEAN

0 (0) Firefly, merupakan salah sebuah anak syarikat di bawah Malaysia Airlines Group (MAG) akan memulakan operasi pesawat berkuasa jet bermula awal tahun hadapan. Susulan itu, syarikat penerbangan itu akan menambah 10 pesawat jet berbadan sempit (narrowbody) secara berperingkat mulai suku pertama 2021. Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham […]

Selanjutnya
17 October 2020
Firefly jadi syarikat penerbangan nasional jika Malaysia Airlines 'bungkus'

0 (0) Berhubung krisis kewangan yang melanda Malaysia Airlines akibat wabak COVID-19, pemegang saham syarikat penerbangan tersebut iaitu Khazanah Nasional Bhd mempunyai pilihan untuk menyalur modal kepada Firefly sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional dalam memenuhi keperluan pengangkutan udara negara jika Malaysia Airlines terpaksa ditutup. Ia adalah pilihan yang terakhir dipertimbangkan sayap pelaburan kerajaan […]

Selanjutnya
10 October 2020
New Zealand kini punyai passport paling berkuasa di dunia, Malaysia tangga ke-21

0 (0) Ini adalah saat yang menggembirakan bagi pelancong dari New Zealand kerana passport mereka merampas tempat teratas dalam ranking passport paling berkuasa di dunia. Buku hitam yang menjadi dokumen perjalanan NZ memang tela h perbaiki ranking mereka di dalam indeks sedikit demi sedikit selama bertahun-tahun, dan akhirnya mereka telah mengalahkan Jepun di tempat pertama. […]

Selanjutnya
10 October 2020
Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020, acara hebat buat kaki pancing

0 (0) Hadiah wang tunai RM75,500, 50 unit hamper dan 10 unit barangan aktiviti luar jenama Igloo adalah antara hadiah menarik yang ditawarkan kepada para pemenang pertandingan memancing ‘Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020’ (TMST 2020) yang akan berlangsung semula . Pertandingan memancing persisiran pantai anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management ini telah menyingkap […]

Selanjutnya
cross
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram