Hanya ini negara yang masih bebas COVID-19 (sehingga Jun 2020) yang ramai tak tahu !

Dikemas Kini: 1 Jun 2020
Surga Route

Hampir kesemua perkara mempunyai sisi positif dan sisi negatif. Dalam sektor pelancongan, negara-negara maju, membangun dan sebagainya mempunyai daya tarik tersendiri menyebabkan kehadiran ramai orang sekaligus membantu ekonomi.

Tetapi, di era pandemik COVID-19, keuntungan berpihak kepada negara yang tidak menjadi tarikan pelancong. Terdapat beberapa negara yang mengatakan mereka masih bebas dari sebarang kes COVID-19 (sehingga 1 Jun 2020), antaranya adalah :

1. Korea Utara

Korea Utara adalah negara pertama yang menutup sempadan mereka di dunia ketika bermulanya wabak COVID-19.

Sebagai negara jiran kepada China yang menjadi tempat bermulanya COVID-19, Korea Utara dikatakan telah mengambil langkah drastik menutup sempadan mereka pada 21 Januari 2020 dan masih belum dibuka semula sehingga sekarang.

Selain itu, sumber dari NKNews mengatakan kerajaan Korea Utara menerapkan peraturan ketat bagi mereka yang masuk ke negara tersebut (orang asing dan warga negara) termasuk dikuarantin sebulan atau sehingga 2 bulan (Sumber : Koryo Group). Tak main lah setakat 14 hari.

Tetapi, sebelum wabak COVID-19 pun, sempadan negara ini memang tak terbuka buat pelancong besar-besaran pun. Korea Utara hanya boleh dimasuki melalui China (darat) dan dari beberapa kawasan lain (melalui jalan udara).

Untuk melawat negara ini, anda wajib menggunakan agensi pelancongan dan perjalanan anda sentiasa dikawal, diperiksa di pelbagai tempat oleh tentera yang bertugas, tidak boleh mengambill gambar secara sebarangan dan macam-macam lagi perkara yang memang tak sesuai bagi pelancong.

Sebab itu, negara ini ramai yang pernah dengar tapi tak ramai yang pernah pergi, walaupun Korea Utara kata negara mereka bebas untuk dilawati oleh sesiapa , kecuali rakyat Korea Selatan dan wartawan (bagaimanapun, passport Malaysia tidak sah digunakan untuk ke Korea Utara dan Israel) . Tapi, kalau dah melancong pun macam nak masuk PLKN baik tak payah.

Pemerintahan ditaktor yang boleh membuat keputusan bersendirian, dan mereka sememangnya tidak bergantung kepada sektor pelancongan memudahkan mereka menutup sempadan negara awal-awal lagi sekaligus membendung wabak COVID-19. Walaupun Korea Utara Bebas covid, tapi kehidupan rakyat mereka tidak sebebas kita.

Adapun mengenai ura-ura sesiapa dijangkiti COVID-19 di Korea akan ditembak mati oleh kerajaan negara itu, kami tidak menjumpai sumber sahih yang mengatakan begitu. Cuma, Kim Jong Un mengatakan akan ada akibat serius jika terdapat kes COVID-19 meletus di negara itu. Sumber (NSTP)


2. Turkmenistan 

Turkmenistan adalah sebuah negara di Asia Tengah yang bersempadan dengan negara stan-stan yang lain seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, dan Afghanistan . Selain itu , negara ini juga bersempadan dengan Iran.

Kesemua negara yang bersempadan dengan Turkmenistan telah pun melaporkan kes COVID-19 di negara mereka. Jadi, bagaimana negara ini boleh bebas COVID-19 ?

Pertama, negara yang kurang pelancong. Jika di negara lain kita boleh mendengar ayat berupa "semua pelancong boleh ke negara ini, kecuali beberapa negara memerlukan visa" , tetapi di Turkmenistan, "semua pelancong perlu mendapatkan visa kecuali beberapa negara dikecualikan". Untuk mendapatkan visa pula tidak mudah, anda perlu melancong ke sini secara berkumpulan di bawah agensi dan dikatakan banyak bukti bahawa permohonan visa ke negara ini ditolak.

Tiada data rasmi daripada United Nations’ World Travel Organization (UNWTO) , tetapi dikatakan pelancong yang datang ke Turkmenistan kurang daripada 10,000 orang setiap tahun, menjadikan negara ini sebagai negara ke-7 paling kurang dilawati. Sebagai perbandingan betapa sikitnya jumlah ini, pelancong ke Malaysia adalah sebanyak 25 juta orang per tahun , sumber tourism Malaysia.

Selain itu, negara ini mempunyai kepadatan penduduk yang sangat sedikit iaitu kira-kira 13 orang per KM². Malah, anda akan sangat mudah menjumpai gambar-gambar dan kisah bagaimana kosongnya Ashgabat, iaitu ibu negara Turkmenistan.

Tidak ramai pelancong, tidak dikenali, tidak padat, antara sebab kenapa mereka terselamat dari COVID-19. Sebelum ini, kecoh mengatakan kerajaan negara terebut haramkan perkataan 'coronavirus' tapi sebenarnya bukan macam itu. Baca disini


3. Solomon Islands

Solomon Islands adalah negara merdeka terdiri daripada 6 pulau besar dan lebih 900 pulau-pulau kecil di wilayah Oceania , di timur Papua New Guinea dengan jumlah penduduk 652,858 orang. Negara ini hanya boleh diakses melalui Australia, Papua New Guinea atau Vanuatu.

Menurut data dari Solomon Islands National Statistics Office, hanya terdapat 21,623 pelancong di negara itu pada 2015.


4. Vanuatu 

Bagi mereka yang pernah sampai ke Vanuatu, seringkali mereka katakan bahawa negara ini sering dipandang rendah namun sebenarnya sangat kaya dengan keindahan alam buat dinikmati travelers.

Selain itu, negara ini amat berbeza dengan Turkmenistan dan Korea Utara yang dikuasai ditaktor, dan rakyatnya yang ditekan penguasa.

Untuk rekod, Vanuatu pernah menjadi Negara Paling Gembira di dunia, dan kini mereka adalah negara ke-4 paling gembira di dunia mengikut data yang dikeluarkan oleh Happy Planet Index.

Negara ini tidak mempunyai angkatan tentera mereka sendiri dan mereka bersatu walaupun berbeza etnik dan budaya. Untuk rekod, terdapat lebih 100 bahasa ditutur di sana.

Buat masa ini, masih belum ada catatan kes COVID-19 disana, menjadi satu lagi sebab untuk mereka gembira !


5. Samoa 

Samoa mungkin antara negara yang mempunyai kisah menarik disebalik bebasnya mereka dari wabak COVID-19.
Sebenarnya, pada penghujung tahun lepas, Samoa telah dikejutkan dengan penularan kes demam campak melibatkan yang menjangkiti kira-kira 6,000 orang. Satu jumlah yang besar melihatkan keseluruhan penduduk Samoa hanyalah 200,000 orang. Punya serius demam campak ini sampai mengakitbatkan kematian 90 orang, kebanyakannya bayi.

Jadi, ketika itu kerajaan Samoa telah mengarahkan perintah berkurung (lockdown) selama 2 hari bagi mengawal jangkitan demam campak dan melakukan proses memberi imuniti secara besar-besaran.

Ratu Cantik Samoa yang baru sahaja ditabalkan ketika itu, Fono McFarland-Seumanu pula menjadi wira rakyat tempatan apabila beliau menawarkan diri untuk membantu dalam proses memberi vaksin kepada penduduk. Beliau yang juga merupakan jururawat kerajaan telah pergi dari rumah-ke-rumah bagi menjalankan kerja pemberian vaksin sementara pihak lain memberikan fokus pengendalian kes di hospital.

Akhirnya, krisis kecemasan kesihatan di Samoa telah berakhir dan ratu cantik itu menggunakan populariti beliau untuk melakukan kempen agar penduduk di Samoa tetap berada di rumah dan melakukan penjarakan sosial.

Begiulah ceritanya, bagaimana endemik demam campak di Samoa membuatkan mereka bersedia untuk menghadapi pandemik COVID-19 yang menyerang dunia. Kata Take Naseri, pengarah kesihatan di Kementerian Kesihatan ;

"Selepas demam campak membunuh 90 orang, kami tak akan ambil ringan mengenai coronavirus."

Tak larat nak tulis, Berita penuh disini


6. Kiribati

Kiribati adalah sebuah negara yang terletak di tengah lautan pasifik. Apa yang menarik mengenai cara mereka membendung wabak ini adalah melalui gerak kerja di setiap paringkat.

Kiribati Health Champion bersama dengan beberapa organisasi lain telah melakukan kunjungan dari rumah-ke-rumah dalam usaha menerangkan kepada penduduk di sana mengenai COVID-19 dan bahayanya sekaligus berkempen kepada penduduk untuk tetap mengikuti arahan-arahan kerajaan.


7. Federated States of Micronesia

Micronesia pantas menguatkuasakan larangan pergerakan sejak februari, dan tambahan larangan perjalanan secara penuh buat sesiapa yang bergerak dari China ataupun warganegara China. Ini membuahkan hasil apabila mereka kini antara negara yang bebas dari COVID-19.


8. Tonga

Walaupun masih bebas daripada COVID-19, tetapi kerajaan Tonga masih mengambil langkah berhati-hati apabila mereka kini melanjutkan larangan pergerakan sehingga 11 Jun (pada asalnya 28 Mei).

Antara larangan yang berkuatkuasa sepanjang tempoh itu adalah penjarakan sosial sejauh 1.5 m antara satu sama lain dan memakai pakaian perlindungan pada keadaan yang memerlukan. 1.5m tau..


9. Marshall Islands

Kepulauan Marshall adalah rantai pulau dengan gunung berapi yang luas dan batu karang di Lautan Pasifik , antara Hawaii dan Filipina. Negara ini hanya menarik sekitar 5,000 pelancong dalam setahun.


10. Palau

Kata kuncinya, adalah langkah awal ! Palau telah menutup sempadan mereka sangat awal dan mengutamakan ujian mengesan COVID-19 di kalangan warga negara tersebut. Itu apa yang diperkatakan oleh diplomat Palau.

Dalam temubual dengan CNN Philippines, duta Palau ke United Nations, Ngedikes Olau Uludong mengatakan mereka telah memperketatkan kawalan sempadan di Palau seawal januari lagi. Ini cerita penuhnya.

Fuh, ketika negara lain masih rileks-rileks lagi, Palau dah awal-awal ambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan mereka bebas dari pandemik COVID-19. Terbaik !


11. Tuvalu

Tuvalu mengendalikan krisis pandemik COVID-19 dengan sangat berhati-hati dan itu memberikan kejayaan buat mereka. Antaranya adalah, mereka menubuhkan pasukan khas COVID-19 seawal januari yang lalu walaupun risiko yang sangat rendah buat negara yang dilawati hanya 2,000 orang setiap tahun ini.

Selain itu, bermula 3 Mac mereka telah menutup kemasukan warga asing ke negara mereka kecuali kepada warga mereka atau warga asing dari Kiribati, Vanuatu, Solomon Islands, Samoa , Tonga dan Fiji(ketika ini masih belum merekodkan kes). Sesiapa yang tiba dari kawasan disebutkan perlu menjalani kuarantin 14 hari.

Sekali lagi mereka mengetatkan kawalan sempadan pada 20Mac selepas satu kes telah direkodkan di Fiji.

Mereka juga mengatakan bahawa dilema dihadapi oleh mereka untuk membawa pulang warga tempatan ke tanah air. Ini kerana, mereka sedar bahawa kurangnya fasiliti kesihatan di negara tersebut. Tindakan terburu-buru membawa pulang warga mereka pasti meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 kepada warga tempatan yang tidak bersalah dan mungkin memusnahkan institusi kesihatan di negara tersebut.

Sedar mengenai perkara itu, kerajaan Tuvalu kini sedang mempersiapkan dahulu fasiliti kesihatan mereka sebaik mungkin sebelum membawa pulang rakyatnya yang terkandas di luar negara.


12. Nauru 

Gambar tersebut adalah merupakan pemandangan atas keseluruhan negara Nauru. Saiznya hanyalah 20.98km² , penduduknya hanyalah sekitar 10,000 orang dan pelancong ke negara tersebut setiap tahun hanyalah 200 orang. Ini adalah negara paling kurang dilawati di dunia , dan itulah sebab negara ini bebas dari wabak asing.

Kalau kita lihat senarai ini, negara yang bebas COVID-19 ini adalah negara yang tidak dikunjungi pelancong kerana lokasinya yang jauh terasing atau kerana corak pemerintahan kerajaan di sana.

Selain itu, negara-negara begini mempunyai kemungkinan tidak melakukan ujian atau saringan yang mencukupi kerana tahap institusi kesihatan mereka yang tidak efisien.

Tetapi, terdapat juga perkara yang boleh dipelajari oleh dunia, iaitu tindakan awal untuk membendung COVID-19 dan sentiasa mengatur langkah atau arahan dengan berhati-hati, akhirnya membuatkan mereka bebas.



Sekian melaporkan

0 0 votes
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram