Kembali bernyawa. Pemain, pemilik, pengusaha, ejen dan yang berkaitan dengan industri pelancongan di beberapa negeri pasti lega selepas tiga bulan perniagaan atau servis disediakan mereka tidak bernyawa susulan COVID-19.

Bagi meemastikan industri pelancongan negara yang sepi dan suram sejak penularan COVID-19 kembali bernyawa, kini tiba masanya semua pihak memainkan peranan untuk menggerakkannya seperti sedia kala.

Malaysia kaya dengan produk pelancongan dengan keunikan dan keistimewaan dalam pelbagai segi sewajarnya diterokai secara menyeluruh. Tambahan pula tumpuan kini aktiviti pelancongan domestik saja dibenarkan.

Justeru, pelbagai pihak termasuk orang ramai sudah boleh merancang bercuti dengan menerokai pelbagai destinasi di negara ini, selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Cuma semua pihak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kini banyak pusat pelancongan, hotel, inap desa dan lain-lain di seluruh negara membuat promosi hebat dengan menawarkan diskaun menarik sehingga ada mencecah 90 peratus bagi menggalakkan orang ramai bercuti.

Kuala Lumpur dan Selangor

Kuala Lumpur yang menjadi nadi segala kegiatan ekonomi dan aktiviti pelancongan termasuk bangunan berkembar Petrona yang menjadi mercu tanda di ibu kota dan banyak lokasi tumpuan pusat beli-belah lain sunyi sepi akibat COVID-19, kita semakin bersinar dan mula dipenuhi orang ramai.

Dataran Merdeka, Menara Kuala Lumpur, Taman Tugu Negara dan lain-lain juga kembali bernyawa apabila dikunjungi warga kota sekali gus dapat merancakkan pelbagai aktiviti yang tidak pernah 'mati' sebelum ini.

Melaka bandar bersejarah

Melaka yang terkenal dengan warisan sejarah, seni dan budaya akan terus bernyawa dan menjadi nadi industri pelancongan.

EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis, berkata bangunan yang menyimpan khazanah sejarah Melaka seperti Kota A Famosa, Stadthuys, Memorial Perisytiharan Kemerdekaan dan Padang Pahlawan dijangka menjadi tumpuan utama pelancong tempatan.

"Sebagai permulaan, hanya pelancong tempatan akan menggerakkan semula industri pelancongan di negeri ini.

"Pelancong dijangka memenuhi Jonker Walk dan menikmati pemandangan di sekitar Sungai Melaka dengan menaiki bot 'Melaka River Cruise' (MRC), selain membeli-belah di pelbagai kompleks yang ada di sekitar Bandar Hilir," katanya.

Chalet di kawasan pantai seperti Pantai Puteri, Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru yang mempraktikkan SOP bagi melancarkan operasi.

Johor kaya pelbagai keunikan

Di Johor promosi hebat berbaloi menanti pengunjung bagi memastikan industri pelancongan kembali bernyawa. Hampir kesemua hotel di negeri ini menawarkan harga bilik dengan diskaun melebihi 50 peratus.

Lokasi tumpuan adalah di gugusan pulaunya, pantai, keenakan dan keaslian makanan tempatan, selain pusat beli-belah tawarkan sehingga 90 peratus produk berjenama di Johor Premium Outlet (JPO).

Antara pulau terindah di dunia di Pulau Rawa, Mersing yang mendapat jolokan 'Maldives Malaysia' dek air lautnya, bakal jadi tumpuan, selain ada Pulau Aur, Pulau Sibu, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar.

Desaru, Kota Tinggi, miliki pantai tercantik di Malaysia dengan pasir memutih sepanjang 25 kilometer dan deretan pokok rhu, dikelilingi hotel dan pusat peranginan bertaraf dunia dijangka dipenuhi semula pengunjung.

Johor terkenal dengan syurga makanan. Keenakan dan keaslian makanan tempatan seperti nasi beriani, asam pedas, mi rebus, kacang pool, laksa Johor, tauhu bakar dan goreng pisang dicicah sambal kicap pasti jadi pilihan.

Pelancong Singapura dijangka memenuhi restoran untuk menjamu selera, setiap minggu.

Kedah negeri Jelapang Padi

Pulau Langkawi, destinasi paling popular di Kedah, selain banyak lokasi menarik, deretan pantai cantik, keindahan alam flora dan fauna serta aktiviti membeli-belah di pulau bebas cukai itu bakal kembali bernyawa dan dibanjiri pelancong domestik, sedikit masa lagi.

Selepas hampir tiga bulan sepi tidak bernyawa tanpa pengunjung, Pantai Chenang di sini kembali meriah dengan pelancong susulan kebenaran rentas negeri menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sejak empat hari lalu.

Tinjauan mendapati, rata-rata pengunjung yang berada di pantai itu adalah pelancong dan orang tempatan.

Mereka dilihat mematuhi jarak sosial termasuk gerai yang beroperasi berhampiran pantai itu turut menyusun meja pada jarak dua meter.

Namun aktiviti sukan air di sepanjang pantai itu masih tidak dijalankan.

Pelancong tempatan, Syaheera Zulkifli,23, berkata dia mengambil peluang bercuti selepas hampir tiga bulan tidak ke mana-mana kecuali berulang ke tempat kerja.

"Sebaik sahaja kerajaan membenarkan rentas negeri, saya terus rancang untuk ke sini dan menempah hotel yang kini menawarkan harga yang murah.

"Rasa hilang sikit tekanan apabila dapat berada di tepi pantai, walaupun hanya berada di sini dua hari satu malam tapi rasa puas hati dapat berehat," katanya yang bekerja di Pulau Pinang.

Sementara itu, bagi penduduk tempatan, Rohata Puteh, 57, dia mengambil peluang untuk membawa cucunya berkunjung ke Pantai Chenang selepas melihat orang mula berkunjung ke pantai itu.

"Kami penduduk tempatan pun rindu nak ambil angin di pantai selepas hampir tiga bulan duduk di rumah.

"Tambah pula cucu-cucu saya yang masih kecil, mereka sangat teruja apabila diberitahu dapat keluar ke pantai," kata nenek kepada tujuh orang cucu ini.

Sebelum ini media melaporkan Pantai Chenang boleh diumpamakan 'pantai mati' kerana tidak lagi dikunjungi pelancong sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Di Alor Setar, juga banyak lokasi menarik seperti Pekan Rabu menempatkan kedai jualan pelbagai makanan dan kuih tradisional masyarakat Melayu, selain Menara Alor Setar dengan ketinggian 165.5 meter dapat melihat panorama di bandar raya itu.

Gunung Jerai dengan 19 hingga 24 darjah Celsius, pula lokasi dinanti-nanti kepada penggemar aktiviti lasak bagi memulakan semula aktiviti pendakian dan perkhemahan.

Hutan Lipur Sungai Sedim dan Hutan Simpanan Gunung Inas yang terkenal di Kedah dengan kanopi atau titi gantung antara terpanjang di dunia (925 meter), menggamit pengunjung.

Kelantan tidak suram lagi

Pasar Siti Khadijah, Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang, di Kelantan kembali bernyawa sebaik rentas negeri dan bercuti di dalam negara dibenarkan.

Selepas lebih dua bulan empat lokasi itu suram, ia dijangka menerima kebanjiran pengunjung seperti kelaziman sebelum ini terutama ketika cuti persekolahan.

Tiga daripada empat destinasi pelancongan dianggap wajib dikunjungi pelancong, sudah beroperasi sejak beberapa minggu lalu dan hanya Pasar Borong Wakaf Che Yeh akan beroperasi sepenuhnya pada 15 Jun ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan, Mohd Aidil Afizie Daud, berkata walaupun hanya membabitkan pelancong domestik kerana sempadan negara masih belum dibuka, ia sudah cukup untuk merancakkan kembali ekonomi dan menjana pendapatan peniaga," katanya.

Destinasi membeli-belah, Bukit Bunga yang terletak di laluan Lebuh Raya Utama Timur Barat, di Tanah Merah, juga kembali bernyawa dengan kehadiran pengunjung.

Lokasinya di laluan menghubungkan Kelantan dengan Perak termasuk beberapa negeri di utara, ia menjadi tumpuan perantau atau penduduk setempat sendiri yang singgah untuk membeli ole-ole.

Seorang peniaga, Wan Haila Wan Hassan, 27, berkata kemeriahan itu mula dirasai sejak tiga hari lalu selepas sekian lama tiada pengunjung disebabkan pandemik Covid-19.

"Sejak Jumaat lalu, suasana di kawasan ini meriah dan kami sebagai penjual gembira kerana sudah hampir tiga bulan 'dapur tak berasap'.

"Segelintir daripada lebih 100 peniaga mula berniaga sejak Ramadan lalu namun pengunjung hanya dapat dikira dengan jari dan itu pun terdiri daripada penduduk sekitar yang hanya keluar mencuci mata.

"Perubahan mengejut berlaku sebaik kerajaan memberi kebenaran rentas negeri yang mana pembeli mula memenuhi lot kedai di sini dan mereka adalah perantau yang singgah sama ada untuk pulang ke kampung halaman atau kembali ke negeri asal," katanya ketika ditemui hari ini.

Kegembiraan yang sama dirasai Wan Nur Anis Wan Ali, 24, yang memberitahu banyak makanan ringan, kudapan atau keropok keping yang tidak terjual sebelum ini terpaksa dibuang kerana rosak disebabkan melebihi tarikh luput.

"Kebetulan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada 18 Mac lalu saya banyak mengambil stok makanan dijual kerana ketika itu menjelang cuti persekolahan.

"Dugaan buat kami apabila kerajaan mengumumkan PKP yang menyebabkan operasi perniagaan tergendala dan walaupun sudah dibenarkan berniaga sebulan selepas itu, tetap tiada pembeli menyebabkan banyak makanan terpaksa dibuang.

"Tapi sejak beberapa hari sebelum Aidilfitri sehingga kini pelanggan mulai ramai seperti biasa dan dapatlah merasa untung walau tidak banyak," katanya.

Pulau Pinang alu-alukan pengunjung

Sudah pasti terbayang keenakan makanan, pemandangan laut, percampuran etnik dan budaya serta bangunan ikonik yang menjadi buruan kaki lensa.

Lantas, Pulau Pinang turut bersiap sedia menyusun strategi bagi menarik semula kunjungan pelancong ke negeri itu.

Lokasi seperti mural Lebuh Armenian, nasi kandar di Jalan Penang, pasir memutih di Batu Feringghi, durian Balik Pulau, roti bakar Jalan Transfer, bangunan kolonial di Padang Esplaned dan lain-lain lagi akan kembali meriah dengan kunjungan pelancong tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH) Negeri Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya sudah mengambil langkah memperkenalkan 'Penang Tourism Recovery Action Plan' merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi membangunkan semula industri itu dan memastikan ia terus bernyawa.

"Pintu sempadan negara belum dibuka, pelancong domestik daripada Zon Hijau menjadi sasaran pengunjung ke Pulau Pinang buat masa ini," katanya.

Sumber : berita harian

Kami Kongsi. Anda Terokai

0 0 vote
Article Rating
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Selamat Datang ke Surga Route. Kami suka berkongsi pengalaman menjelajah seluruh dunia.
25 February 2021
Malaysia Airlines mahu perkenal pas kesihatan perjalanan pasca COVID-19

Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines merancang untuk memperkenalkan Pas Kesihatan Perjalanan Digital bagi membolehkan perjalanan udara yang selamat dalam tempoh pasca Covid-19. Syarikat penerbangan itu menjelaskan kad kesihatan itu akan menyepadu dengan modul daripada Pas Perjalanan yang dilaksanakan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sekali gus membolehkan penumpang membuat pasport digital pada aplikasi mudah alih Malaysia […]

Selanjutnya
23 February 2021
Kerajaan cadang pasport vaksin COVID-19, dokumen pengesahan selepas suntikan

Kerajaan bercadang mengeluarkan pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba. “Ketika ini, kita cadangkan dua kaedah iaitu dipaparkan (terima suntikan) di aplikasi MySejahtera dan dokumen secara fizikal iaitu dalam bentuk pasport yang boleh diterima negara lain,” katanya. Bercakap pada sidang media selepas menyambut ketibaan […]

Selanjutnya
23 February 2021
COVID19 berakhir pada awal 2022 - Pakar

Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge, percaya bahawa pandemik COVID-19 akan berakhir pada awal tahun depan, lapor Agensi Berita Anadolu. Bercakap kepada saluran penyiaran Denmark, DR.Kluge berkata, COVID-19 masih merebak pada 2021 tetapi akan lebih terkawal berbanding tahun lalu. Sambil menyifatkan senario terburuk kini berakhir, beliau berkata, sudah ada lebih banyak […]

Selanjutnya
23 February 2021
Genting SkyWorlds bakal dibuka pada Q2 2021

Setelah menunggu bertahun-tahun lamanya, akhirnya ada juga berita gembira berkenaan Genting Highlands. Menurut laporan, Taman tema Genting SkyWorlds bakal dibuka kepada orang ramai pada suku kedua tahun ini (2021), sekali gus akan merancakkan semula sektor pelancongan negara kita selepas bergelut dengan pandemik COVID-19. Genting SkyWorlds adalah taman tema paling dinantikan di Asia Tenggara buat ketika […]

Selanjutnya
23 February 2021
Khazanah suntik RM3.6b untuk penstrukturan semula Malaysia Airlines

Khazanah Nasional Berhad akan menyuntik dana RM3.6 bilion kepada syarikat induk Malaysia Airlines Berhad, Malaysia Aviation Group (MAG), bagi menampung kos syarikat itu sepanjang tempoh penstrukturan sehingga 2025. MAG dalam satu kenyataan malam ini memaklumkan Khazanah Nasional telah menyatakan komitmen berkenaan dalam rangka penting program penstrukturan semula berkenaan. Kenyataan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi United […]

Selanjutnya
cross
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram