Jom ke Sarawak ! Kerajaan negeri benarkan sektor pelancongan mulai 17 Jun

Dikemas Kini: 15 Disember 2023
Surga Route
Sumber : Discoverist

Sektor pelancongan, seni dan budaya di Sarawak akan dibenarkan beroperasi mulai 17 Jun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata untuk pelancongan, kebenaran beroperasi adalah untuk pengendali pelancongan, pemandu pelancong, homestay, hotel, pengembaraan dan pelancongan lasak, skuba dan snorkeling serta taman tema (taman kering sahaja).

“Garis panduan asas mengenai jarak sosial, kebersihan diri, pengimbasan suhu, pembersihan kemudahan awam harus dipatuhi.

“Kakitangan, tetamu dan kontraktor mesti memuat turun aplikasi MySejahtera dan COVIDTrace Sarawak untuk memudahkan pencarian kontak yang diperlukan,” katanya pada sidang media mengenai SOP untuk pembukaan semula sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata operator pelancongan boleh menerima dan menjual tempahan untuk pakej pelancongan domestik dan aktiviti yang telah dibenarkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, katanya pakej pelancongan ke luar negara masih tidak dibenarkan pada masa ini.

Karim menambah pengendali pelancong digalakkan untuk melakukan promosi pakej pelancongan melalui pemasaran dalam talian, di mana pameran promosi atau jerayawara tidak dibenarkan sehingga mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Manakala pihak hotel perlu mengehadkan kapasiti bilik mesyuarat atau dewan persidangan sehingga 50 peratus sahaja, dengan rekod peserta perlu disimpan sekurang-kurangnya enam bulan.

Fasiliti seperti sauna, kolam renang, pub, bar, karaoke dan jamuan makan bufet pula tidak dibenarkan. 

Manakala untuk sektor seni dan budaya, Karim berkata muzium, galeri, arkib, pusat kraftangan dan tempat peringatan boleh dibuka kepada umum namun pengunjung tidak dibenarkan menggunakan kawasan interaktif.

“Kanak-kanak di bawah 12 tahun mesti ditemani oleh orang dewasa,” katanya.

Bagi sektor industri kreatif seperti rumah produksi dan studio, beliau berkata ia dapat memulakan aktiviti pengeluaran untuk muzik, penggambaran, videografi, fotografi, reka bentuk grafik dan animasi dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Syarikat produksi mesti mematuhi peraturan dan syarat pelesenan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Akta 244) dan juga Permit Penggambaran yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau menambah krew produksi penggambaran harus memberikan rekod perjalanan mereka bagi empat minggu terakhir untuk permohonan lesen dan izin yang diperlukan sebelum mereka dapat memulakan operasi, selain wajib mendaftar dan memuat turun MySejahtera dan COVIDtrace Sarawak.

Untuk sekolah muzik, tarian, teater dan studio fotografi pula, Karim berkata ia juga dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ditetapkan di mana bagi peserta / pelajar berumur di bawah 18 tahun, pengendali mesti meminta persetujuan ibu bapa mereka dengan bukti yang sah sebelum melakukan sebarang aktiviti.

Selain itu, katanya adalah mendorong peserta / pelajar membawa dan menggunakan instrumen sendiri (instrumen individu seperti papan kekunci, biola, gitar dan lain-lain).

Berita gembira apabila Sarawak bersedia membuka pintu pelanongan apatah lagi baru-baru ini berita gembira telah diumumkan buat warganegara Malaysia yang ingin merentas negeri ke Sarawak apabila kelonggaran diberikan untuk memasuki negeri itu susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), 10 Jun lalu.

Mereka dari Semenanjung, Sabah dan Labuan bukan sahaja tidak perlu membuat permohonan kemasukan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak seperti sebelum ini, malah tidak perlu lagi menjalani ujian saringan COVID-19 (PCR) sebelum berlepas ke sana.

Pastinya, kelonggaran yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu, digunakan sebaiknya buat mereka yang ingin pulang ke kampung halaman atau pelancong memandangkan pelancongan domestik dibenar beroperasi semula semasa PKPP.

Namun, usah mengambil mudah kelonggaran yang diberikan kerana kebenaran rentas negeri bukan alasan untuk tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).

Tentu sahaja, kita tidak mahu dalam keghairahan bertemu keluarga di kampung atau melancong akan mewujudkan kluster baharu.

Kami Kongsi. Anda Terokai

0 0 votes
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram