SOP penerbangan berkaitan COVID-19 sudah ambil kira kepentingan semua- MOT

Dikemas Kini: 15 Jun 2020
Surga Route

KEPUTUSAN kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) peraturan jarak sosial bagi semua penerbangan penumpang berjadual dan tidak berjadual tidak dibuat secara sebelah pihak.

Sebaliknya, keputusan itu membabitkan konsultasi dengan pihak berkepentingan di sektor swasta dan awam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan itu mengambil kira kepentingan, keselamatan dan kesihatan penumpang serta anak kapal sebelum ia dimuktamadkan.

"Menjawab dakwaan pihak tertentu berhubung keputusan kerajaan melonggarkan peraturan jarak sosial bagi semua penerbangan penumpang berjadual dan tidak berjadual, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ingin menyatakan keputusan itu tidak dibuat secara sebelah pihak.

"Rundingan bersandarkan cadangan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan bukti saintifik dan penilaian risiko mengikut fakta tepat.

"Rundingan ini turut membabitkan pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dibuat KKM yang mesti dipatuhi," katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, SOP KKM yang perlu dipatuhi seperti penumpang wajib memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan dan ujian saringan gejala menggunakan pengimbas sebelum menaiki pesawat, jejak kontak penumpang dan menggunakan cecair pensanitasi tangan.

Menurutnya, garis panduan KKM mengenai pencegahan jangkitan dan kesedaran kebersihan perlu disampaikan sepenuhnya kepada anak kapal serta syarikat penerbangan.

"Dalam SOP itu, kabin kapal terbang dibersihkan selepas setiap penerbangan dan mengelakkan aktiviti bersentuhan semasa perkhidmatan penerbangan seperti pengendalian makanan.

"Perbincangan SOP ini sudah dipersetujui MOT bersama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada 7 Jun 2020.

"Kementerian akan kekal komited mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua pengguna serta kakitangan pengangkutan awam," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan terus memantau keadaan selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan.

Sumber : Hmetro

Kami Kongsi. Anda Terokai

0 0 votes
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram