Syarikat penerbangan dari Taiwan, EVA Air memperkenalkan satu kempen terbaru dengan kerjasama syarikat pelancongan Mobius International. Mereka bakal menawarkan khidmat mencari jodoh kepada para pelanggan mereka ketika pesawat terbang.
Dalam kempen, “Fly!! Love is flying Sky,” dengan slogan “Terbang seorang, pulang berpasangan”, pelanggan yang bujang sama ada lelaki dan wanita bakal diletakkan secara rawak dan bebas untuk berjalan-jalan, bercakap dengan penumpang lain selama 3 jam penerbangan.
Di akhir penerbangan, penumpang di beri pilihan untuk membuat pengakuan dengan siapa yang paling mereka selesa.
Setiap penerbangan khas EVA Air tersebut adalah terhad kepada 40 penumpang, 20 lelaki dan 20 wanita. Pesawat akan berlepas dari lapangan terbang Taipei, mengelilingi ruang udara Taiwan, dan kemudian mendarat di lapangan terbang yang sama. Selama 3 jam penerbangan tanpa tujuan, penumpang akan dihidangkan makanan yang dimasak oleh chef terkemuka, Motoke Nakamura.
Terdapat tiga pakej yang ditawarkan. Pakej Krismas akan disediakan semasa minum petang. Manakala pakej Malam Tahun Baru, penumpang akan makan malam romantis di atas awan sebelum menyambut kedatangan tahun 2021.
Sementara itu, pakej Hari Tahun Baru akan merangkumi sarapan sambil menyaksikan matahari terbit. Tiket untuk setiap penerbangan berharga TW $ 8,388 (kira-kira RM1,200.00).
Bagaimanapun, penumpang yang mahu menaiki pesawat tersebut mestilah sekurang-kurangnya mempunyai ijazah dan tinggal di Taiwan.
Sejak penularan wabak COVID-19 melanda dunia, penerbangan merentas negara sangatlah terhad membuatkan pakej penerbangan tanpa tujuan kini menjadi popular di Taiwan, Brunei, dan Australia.
Sumber: CNN Travel