Taman Eko Rimba (TER) 'Mossy Forest' , adalah salah satu tarikan utama di Gunung Irau, Kawasan Peranginan Cameron Highlands oleh kerana hutan berlumut itu mampu memberikan aura berbeza berbanding denai hutan yang lain di Malaysia.

Sebelum ini, perjalanan pengunjung ke TER Mossy Forest sedikit sukar akibat jalan menuju ke kawasan itu yang sering rosak dan setiap kali musim tengkujuh, hujan membawa bersama batu dan tanah disebabkan faktor kecerunan.

Kini, jalan baru sepanjang lima kilometer menuju ke TER Mossy Forest itu telah siap dan dibuka sepenuhnya sekaligus memberi keselesaan kepada pengunjung yang hadir ke kawasan pelancongan itu.

Foto WMY/Mohd Fikri Mie. Kredit : Wacana
Arifhadi Johari Affandi, iaitu Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands berkata, projek penyelenggaraan jalan naik ke tempat berkenaan dibahagikan kepada dua fasa dan siap sepenuhnya akhir tahun lalu dengan menggunakan simen.
Selain membaiki kerosakan jalan, projek itu termasuk membaiki sistem saliran dan melebarkan jalan di beberapa tempat sepanjang laluan ke pusat peranginan tanah tinggi itu.

Sebelum ini hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja mampu sampai ke tapak tempat meletak kenderaan TER Mossy Forest, namun selepas ini kenderaan kecil boleh sampai ke kawasan terbabit yang menjadi tumpuan pelancong.
Pada hujung minggu dan cuti am, jumlah pelancong naik ke TER Mossy Forest bertambah dua hingga tiga kali ganda.
Disebabkan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bercadang untuk menyediakan pengangkutan khas untuk membawa pelancong naik ke TER Mossy Forest, ini bagi mengelak berlaku kesesakan selain keselamatan.
Arifhadi berkata, perbincangan dengan beberapa pihak seperti pengusaha pelancongan di daerah ini akan diadakan tidak lama lagi bagi mencari jalan terbaik untuk membawa pelancong naik ke TER Mossy Forest.