mh2664

3 Penumpang MH2664 Kemuka Laporan Polis, Tuntut Siasatan Telus Berhubung Insiden Mencemaskan

Dikemas Kini: 25 Jun 2022
Surga Route

Tiga penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH2664, yang terbabit dalam insiden cemas pada Ahad lalu, meminta Malaysia Airlines Berhad serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjalankan siasatan telus berhubung kejadian itu.

Abdul Rahim Awang Nong, 48; Halimah Nasoha, 39, dan Chui Ka Wai, 48, masing-masing tampil membuat laporan polis semalam, turut mendesak laporan terperinci siasatan didedahkan kepada umum.

3 Penumpang MH2664 Kemuka Laporan Polis, Tuntut Siasatan Telus Berhubung Insiden Mencemaskan
Chui Ka Wai (dari kiri), Abdul Rahim Awang Nong dan Halimah Nasoha membuat laporan polis di Tawau semalam berkaitan insiden penerbangan Malaysia Airlines MH2664 terbabit dalam insiden cemas pada Ahad lalu.

Mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Malaysia Airlines disiarkan Selasa lalu, menyatakan penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Tawau itu berpatah balik ke KLIA disebabkan isu teknikal dan keadaan cuaca yang buruk.

Abdul Rahim mendakwa, cuaca pada ketika itu baik dan juruterbang juga memadamkan lampu isyarat tali pinggang keselamatan, manakala pramugari sedang menghidangkan makanan sebelum tiba-tiba pesawat hilang kawalan.

"Saya yakin kedudukan pesawat menjunam, ketika itu saya hanya ingat mati dengan penumpang lain menjerit dan menangis ketakutan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Halimah pula mendakwa, beliau melambung dari tempat duduknya ketika insiden cemas itu dan sehingga kini masih berasa trauma dengan kejadian kira-kira 10 minit itu.

"Cuaca sangat baik ketika itu dan saya ada ambil gambar beberapa minit sebelum kejadian, langit biru, tiada hujan, cerah panas. Seharusnya siasatan terperinci perlu dilakukan dengan segera ke atas rakaman kotak hitam kerana ia membabitkan keselamatan awam," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ka Wai berkata, berikutan insiden itu, beliau mengalami masalah tidur kerana masih terbayang dengan situasi berkenaan.

"Sehingga kini dada saya masih sakit. Pada ketika itu, saya lepas minum dan mahu melelapkan mata sebelum tiba-tiba pesawat jatuh, saya melambung, ingat waktu itu mati. Sewaktu selamat mendarat dan keluar pesawat pula, saya perhati semua penumpang dalam keadaan muka pucat," katanya lagi.

Menurutnya, laporan polis itu dibuat bukan untuk menuntut ganti rugi daripada Malaysia Airlines, tetapi mendesak agar mengeluarkan kenyataan betul kerana keadaan cuaca pada ketika itu adalah baik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan sedang menjalankan siasatan. 

0 0 votes
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram