Mardhiyyah Hotel & Suites merupakan hotel patuh Syariah bertaraf 5 bintang terbaharu di Malaysia yang mula menerima tetamu sejak awal Februari 2021.

Nama jenama ‘Mardhiyyah’ diambil daripada perkataan Arab bermaksud Yang Diredhai. Nama tersebut adalah hasil cetusan idea dari Datuk Seri Haji Mohamed Rafik Haji Mohd Idris yang merupakan pemilik dan Pengarah Urusan Mardhiyyah Hotel Sdn Bhd.
Terdapat 341 bilik penginapan ditawarkan merangkumi 5 jenis iaitu 280 bilik jenis deluxe, 58 unit deluxe suite, 2 unit penjagaan khas dan 1 presidential suite.

Raih Pelbagai Anugerah
Hotel bertaraf 5 bintang ini mencapai pengiktirafan sebagai “Muslim-friendly Hotel of the Year” di majlis “Halal in Travel Awards” anjuran Crescent Rating sempena “Halal in Travel Global Summit 2022” di Singapura.
Selain itu, Mardhiyyah Hotel & Suites telah mendapat Pengiktirafan Penginapan Mesra Muslim (MFAR) Kategori Platinum oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTaC) melalui Islamic Tourism Centre (ITC).

Pengiktirafan Anugerah Platinum MFAR ini sebagai hotel ‘Mesra Muslim’ dengan peralatan dan kemudahan patuh syariah. Memenuhi kriteria pelancongan yang mesra Muslim, ia juga mempunyai restoran halal disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain itu, Mardhiyyah Hotel & Suites dinilai dan disahkan memenuhi keperluan Universal Crescent Standard Centre (UCSC) Islamic Quality Standard For Hotel dengan penarafan 7IQS.

Ini membuktikan hotel ini memenuhi kriteria memiliki Chef beragama Islam (untuk memastikan pengetahuan halal toyyiban dalam penyediaan makanan), Penasihat Syariah dan Jawatankuasa Syariah dan Pemilik Muslim.
Fasiliti & Kemudahan Lain
Selain daripada identiti berteraskan operasi Islamik, fasiliti-fasiliti lain di Mardhiyyah Hotel & Suites ini juga tidak kurang hebatnya.

Di tingkat 14, terdapat sebuah kolam renang tertutup. Jadi, boleh mandi-mandi tanpa risaukan keadaan cuaca panas ataupun hujan.

Selain itu, di tingkat yang sama juga terletaknya surau Al-Latifah yang sangat besar. Solat berjemaah dan juga majlis keagamaan juga dilakukan disini bagi tujuan pengimarahan. Tambah-tambah pula waktu bulan Ramadhan.


Bukan sahaja mesra Muslim, malah hotel 5 bintang ini agak mesra kanak-kanak. Untuk anak-anak, disini ada bilik permainan untuk mereka melakukan aktiviti. Best !


Bab makan? Tak perlu was-was dengan restoran hotel ini yang 100% Halal ! Secara keseluruhan, terdapat 3 restoran disediakan disini untuk memenuhi selera anda.
Restoran Royale Songket menghidangkan pelbagai menu tempatan dan antarabangsa. Restoran ini juga dikenali dengan buffet yang memberikan pelbagai pilihan.

Restoran Tung Yuen pula menghidangkan masakan Cina Muslim.


Jika anda mahu suasanakan lebih santai, dan mendapatkan hidangan ringan maka Borak-Borak Cafe & Lounge adalah tempat yang harus dituju.

Lokasi Strategik
Terletak di tengah Bandaraya Shah Alam, Selangor. Mardhiyyah Hotel & Suites hanya beberapa minit dari tempat-tempat pelancongan di bandar ini, pusat membeli-belah, taman-taman popular dan juga pejabat-pejabat kerajaan.
Alamat
Mardhiyyah Hotel & Suites, No 5, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor