mh2664

Malfungsi sistem pitot-statik punca MH2664 berpatah balik: CAAM

Dikemas Kini: 25 Jun 2022
Surga Route

Malfungsi sistem pitot-statik telah menyebabkan Penerbangan MH2664 terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa dalam perjalanan ke Tawau pada Ahad lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Chester Voo berkata penemuan itu dibuat selepas CAAM menyemak laporan awal siasatan keselamatan dan kejuruteraan berkaitan insiden tersebut.

"Berdasarkan laporan awal yang diekstrak daripada Perakam Data Penerbangan (FDR), didapati telah berlaku isu teknikal semasa penerbangan itu susulan malfungsi sistem pitot-statik," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sistem pitot-statik ialah instrumen yang mengukur perbezaan tekanan untuk menentukan kelajuan dan altitud udara.

Beliau berkata malfungsi itu telah menghasilkan petunjuk kelajuan palsu yang menyebabkan pesawat menaik dan menyahaktifkan fungsi pandu auto.

"Sebagai respons, juruterbang segera bertindak mengambil alih kawalan terhadap pesawat itu.

"Ini penting bagi memastikan pesawat kekal berada di bawah kawalan juruterbang berdasarkan petunjuk tepat yang masih ada dengan menggunakan instrumen yang masih berfungsi,” katanya.

Voo berkata data keselamatan menunjukkan terdapat input perubahan mendadak daripada juruterbang semasa percubaan mengambil alih kawalan pesawat itu.

"Bagaimanapun, ini menyebabkan perubahan pada pecutan dan altitud yang selari dengan laporan juruterbang serta pengalaman penumpang dalam pesawat itu.

"Kesemua tindakan pembetulan ini, ditambah pula dengan cuaca buruk, telah menyebabkan penumpang berasa tidak selesa di dalam kabin,” katanya.

Beliau berkata tindakan awal kru penerbangan dan pelaksanaan senarai semak pemulihan tidak normal seperti prosedur operasi standard adalah mencukupi berdasarkan laporan awal siasatan CAAM dan FDR.

Voo berkata CAAM telah mengarahkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk melaksanakan segera beberapa keperluan bagi mengekalkan pengawasan keselamatan yang berkesan.

Antaranya meningkatkan program Latihan Pencegahan dan Pemulihan yang Tidak Baik (UPRT) MAB untuk memberi penekanan kepada tindakan awal serta masa yang diambil untuk bertindak balas terhadap sesuatu isu.

"Perkara ini akan diwajibkan oleh CAAM kepada semua pengendali pesawat komersial,” katanya.

Beliau berkata CAAM turut mengesahkan bahawa pesawat yang terjejas telah direhatkan sehingga notis lanjut dan kini menunggu analisis teknikal daripada Syarikat Boeing.

"Punca insiden yang dikenal pasti sedang ditangani bagi memastikan kaedah latihan dan keselamatan dipertingkat untuk semua kakitangan penerbangan terbabit,” katanya.

Susulan itu, CAAM akan mengeluarkan keperluan tambahan yang diperlukan bagi memastikan semua aspek ditangani dengan teliti dan amalan terbaik keselamatan dipatuhi selain menjaga keselamatan orang awam.

"CAAM ingin memberi jaminan bahawa sistem pengawasan keselamatan di Malaysia yang dikawal selia oleh CAAM adalah ketat serta berkesan dalam menguruskan risiko berdasarkan peraturan dan undang-undang Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” kata Voo. - Bernama


0 0 votes
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram