feri langkawi

Penduduk Langkawi Mahu Tiket Diskaun Disegerakan

Tag:
Dikemas Kini: 10 Ogos 2022
Surga Route

Sebelum ini, kami ada menulis mengenai kadar harga tiket feri dari Jeti Kuala Kedah & Kuala Perlis ke Langkawi yang telah mengalami kenaikan. Mengikut tarif harga yang baharu, harga istimewa bagi penduduk Langkawi masih lagi dikekalkan.

BACA : HARGA TIKET FERI LANGKAWI DINAIKKAN. INI HARGA TERBARU MULAI OGOS 2022

Bagaimanapun, Utusan melaporkan bahawa penduduk Langkawi kesal kerana kemudahan harga tiket istimewa kepada mereka masih lagi belum disediakan sedangkan harga itu sepatutnya diselaraskan pada hari pertama kenaikan berkenaan bagi pembelian dalam talian yang membolehkan mereka mendapat keistimewaan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir mendakwa, pengusaha feri tidak menunaikan janji untuk menawarkan tiket harga istimewa kepada penduduk Langkawi yang juga menjadi syarat utama kenaikan harga itu.

“Pengusaha mungkir janji. Isu kenaikan ini sangat sensitif kepada penduduk Langkawi dan sebelum kenaikan itu diluluskan kerajaan, mereka (pengusaha feri) memberi jaminan, orang Langkawi akan memperoleh harga tiket istimewa. Mana janji itu?

“Tetapi ini tidak, orang Langkawi perlu menunggu sehingga Oktober untuk mendapat keistimewaan itu. Kenapa Oktober? Bukan sekarang? Orang Langkawi bukan kaya raya, berapa banyak kerugian yang perlu mereka tanggung dahulu sebelum keadaan diperbetulkan. Kita desak aplikasi tiket dalam talian ini dinaik taraf secepat mungkin,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga sering mendapat aduan tentang jualan tiket di kaunter yang sering kehabisan menyebabkan mereka terpaksa menggunakan aplikasi dalam talian.

“Banyakkanlah kuota tiket di kaunter kerana itu sahaja cara orang Langkawi boleh beli tiket harga istimewa. Ini tidak di kaunter asyik habis saja tetapi dalam talian ada lagi. Ia tidak adil untuk orang Langkawi,” jelasnya.

Dalam pada itu menurut seorang penduduk, Abu Bakar Ahmad, 43, sebagai penduduk jati Langkawi tindakan pengusaha feri berkenaan dilihat sangat membebankan mereka.

“Tempat lain tambang naik juga tapi tak isu macam ini pun kerana mereka buat persiapan lengkap. Ini tidak naik dahulu, baru nak naik taraf aplikasi untuk tambang istimewa kepada kami.

“Oktober lambat lagi kenapa harus lewat macam itu dan dalam tempoh dua bulan ini penduduk Langkawi perlu bayar harga sama saja untuk belian dalam talian yang tiada keistimewaan. Ini sangat membebankan kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Raof Ishak, 59, juga mempersoalkan tiket feri jualan kaunter yang selalu kehabisan berbanding dalam talian.

“Kalau sudah tahu harga istimewa ini hanya diperoleh di kaunter saja jadi banyakkan jualan di kaunter khusus untuk penduduk Langkawi sahaja. Ini sangat membebankan orang Langkawi terutama yang harus menggunakan feri setiap hari. Kita harap perkara ini selesai secepat mungkin tak perlulah tunggu sampai Oktober nanti,” katanya.

Akhbar melaporkan baru-baru ini, tiket feri bagi laluan Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi mengalami kenaikan antara RM3 hingga RM11.50 satu hala. 

Kredit : Utusan Online

0 0 votes
Article Rating
Kategori:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram