pilihanraya

Tiket Penerbangan Singapura-Malaysia Melambung Selepas PRU15 Diumum

Tag:
Dikemas Kini: 1 November 2022
Surga Route

Harga tiket penerbangan pergi balik dari Singapura ke Pulau Pinang mencecah RM1,017, naik kira-kira 50 peratus berbanding biasa, selepas pilihan raya umum (PRU) ditetapkan di Malaysia.

Bagi warga Malaysia yang bekerja di Singapura, Muhd Hafizuddin Ismail, harga tiket penerbangan lebih tinggi menyebabkan beliau tidak pasti apakah akan pulang ke Pulau Pinang untuk mengundi bagi PRU kali ini.

Beliau yang ditemubual Berita Harian Singapura, berkata memandangkan tambang itu melebihi bajetnya, beliau masih menunggu dan berharap harga tiket turun bagi membolehkannya pulang dua atau sehari sebelum hari mengundi pada 19 November.

Menurutnya, sehari selepas tarikh pilihan raya diumumkan pada 20 Oktober, beliau mendapati tambang penerbangan pergi balik dari Singapura ke Pulau Pinang meningkat kira-kira 50 peratus lebih tinggi daripada yang biasa dibayarnya.

Justeru, Hafizuddin, 30, yang bekerja di sebuah hospital di Changi, tidak menempah tiket penerbangan kerana berharap ia akan turun, namun sebaliknya harga terus melonjak.

Beliau adalah sebahagian daripada kira-kira 900,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, tetapi tidak semestinya tinggal di sini, dan layak mengundi pada PRU di Malaysia kali ini.

Tinjauan Berita Harian Singapura mendapati harga penerbangan tambang murah dari Singapura ke Kuala Lumpur yang berlepas pada 18 November dan pulang pada 20 November kini antara RM900 hingga hampir RM1,300.

Sebagai perbandingan, penerbangan sama seminggu kemudian - berlepas pada 25 November dan pulang pada 27 November - berharga antara RM680 hingga RM850.

Seorang lagi warga Malaysia yang bekerja di Singapura, Rosman Abdullah, 35 tahun, berkata beliau pulang ke Kuala Lumpur mengundi pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

"Tetapi kali ini, saya tidak pasti. Dengan segala pergolakan politik kebelakangan ini, saya pun tidak tahu parti mana yang hendak diundi.

"Saya rasa mungkin tidak berbaloi untuk pulang mengundi kali ini, terutama dengan harga tiket mahal," katanya.

Kemudahan undi melalui pos tidak disediakan untuk rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura, selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan di Indonesia.

Hafizuddin berkata beliau lebih suka membuang undi secara peribadi kerana berpeluang juga pulang melawat saudara-maranya di Malaysia.

Selain tiket kapal terbang, tiket bas juga mendapat permintaan tinggi dan menurut jurucakap perhentian bas Redbus, terdapat peningkatan dalam tempahan bagi tempoh 17 hingga 20 November.

"Permintaan tertinggi ialah pada 18 November - lebih 10 kali ganda jumlah tempahan pada hari itu berbanding 11 November," katanya.

Lebih 130 pengendali bas menggunakan perkhidmatan Redbus untuk penjualan tiket mereka di Malaysia dan Singapura. - AGENSI

0 0 votes
Article Rating
Kategori:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram