sarawak ambil alih maswings

Sarawak Hampir Pasti Ambil Alih MASWings

Dikemas Kini: 15 Disember 2023
Surga Route

Rundingan pengambilalihan saham syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) antara kerajaan Sarawak dengan Khazanah Nasional Berhad berjalan lancar dan dijangka mencapai keputusan tidak lama lagi.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pengambilalihan saham syarikat itu ditawarkan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan kerajaan Sarawak mengendalikan syarikat penerbangan sendiri.

Menurutnya, kerajaan Sarawak menerima tawaran itu bagi meningkatkan perkhidmatan penerbangan bukan sahaja domestik, tetapi juga antara wilayah.

"Kita (kerajaan Sarawak) ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih MASwings daripada Khazanah Nasional Berhad.

"Bagaimanapun, kerajaan Sarawak menetapkan dua syarat untuk pengambilalihan itu iaitu MASwings tiada liabiliti atau hutang, serta MASwings dibenarkan menyediakan perkhidmatan antara wilayah iaitu penerbangan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung dan bukan sekadar perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Pengambilalihan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) oleh kerajaan Sarawak.

MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datuk Alice Jawan Empaling bagi pihak kerajaan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, keuntungan bukan keutamaan pihaknya menerima tawaran untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu.

"Paling utama ialah perkhidmatan yang kita sediakan untuk rakyat menerusi RAS selain akan membantu usaha untuk menstabilkan harga tiket penerbangan antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah," katanya.

Sementara itu, Loke ketika mengulas MoU dimeterai hari ini, berkata ia bagi memudah cara usaha kerajaan Sarawak mengambil alih RAS daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, menerusi MoU itu juga, Kerajaan Persekutuan meneruskan komitmen pemberian subsidi berjumlah RM210 juta setahun bagi membolehkan perkhidmatan RAS terus dinikmati oleh penduduk pedalaman di Sarawak dan Sabah.

"Menerusi MoU itu, subsidi diteruskan sehingga 2024 dan apabila kerajaan Sarawak sah mengambilalih MASwings nanti subsidi itu akan diteruskan," katanya yang turut memberi jaminan rundingan pengambilalihan saham MASwings itu akan dipercepatkan.

0 0 votes
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram