itinerari taiwan

Tak Ramai Yang Pergi, Ini Dia Itinerari 6 Hari 5 Malam ke Taiwan !

Dikemas Kini: 10 Mac 2024
Surga Route

Sebenarnya, kami pelik bila terfikir. Kenapa ya, jarang orang kita sebut pasal 'Taiwan'? Jarang yang bercerita berkenaan Taiwan, dan pasti lagi ramai yang 'skip' Taiwan bila travel. Ramai dah pergi ke Jepun, Korea, Hong Kong tapi tinggalkan Taiwan yang berada di sekitar situ jugak . Pelik kan, kenapa ya ? Data ketibaan pelancong Malaysia ke Taiwan pada tiga tahun terakhir adalah

Tahun 2019:537,692 Orang
Tahun 2022:59,035 Orang
Tahun 2023:437,491
Orang

Baru-baru ini kami bersama rakan media ke Taiwan dalam satu lawatan bersempena dengan 'Taiwan Lantern Festival 2024', yang berlangsung di Tainan, Taiwan. Alang-alang itu, kami sempat juga menerokai sisi-sisi indah negara pulau di Asia Timur ini.

@surgaroute Taiwan Trip, Prolog : Dah 2024 ni, kenapa korang masih belum ke Taiwan? Rugiii ! @taiwantourismbureaumy sekarang sangat alu-alukan pelancong Malaysia untuk bercuti di Taiwan ! #TaiwanTourismmy #TaiwanLanternFestival #SalamTaiwan ♬ original sound - Surgaroute Halal Travel

Bila sampai ke Taiwan, kami lebih terkejut bila fikir balik orang Malaysia tak ramai ke sini, sebab sebenarnya Taiwan ni best sangat !

Jom kali ini ikuti sedikit perkongsian dari kami sepanjang kami berada di Taiwan !

Hari 1

Hari pertama, sudah pastinya dimulakan dengan penerbangan untuk menuju ke Taiwan. Sedikit info untuk anda, ada beberapa penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Taiwan dioperasikan oleh China Airlines, Eva Air, Malaysia Airlines, Starlux Airlines, Air Asia dan juga Batik Air. Kebanyakannya menuju ke destinasi yang diketahui ramai iaitu ibu negara Taiwan sendiri, Taipei.

Tetapi, kami memulakan perjalanan kami dengan agak berbeza apabila kami mengambil satu penerbangan dari Terminal 2 KLIA menuju ke sebuah bandar terletak di Selatan Taiwan, iaitu Kaohsiung ! Penerbangan ini dioperasikan oleh syarikat penerbangan tambang murah Air Asia dan setahu kami mereka hanya menawarkan 1 perjalanan sehari ke bandar ke-2 terbesar di Taiwan ini. Penerbangan dengan kod AK170 ini berlepas dari Terminal 2 KLIA pada jam 8:25 dan dijangka tiba di Kaohsiung pada jam 1:15 tengahari.

Kaohsiung International Airport
Kaohsiung International Airport. Gambar Diambil Ketika Sedang Beratur Bagi Urusan Imigresen

Destinasi 1 : RÊVE Café

Setibanya di Taiwan dan menyelesaikan urusan di lapangan terbang, kami menuju untuk minum petang di RÊVE Café.

RÊVE Café Kaohsiung
RÊVE Café

Lokasinya adalah seperti berikut :

  • Alamat : No. 8號, Zhongqin Rd, Cianjhen District, Kaohsiung City, Taiwan 806
  • Pautan Lokasi : Klik Di Sini
  • Laman Web : https://www.reve-cafe.com/
  • Status Halal : Menu Tidak Sepenuhnya Halal. Anda Disarankan Untuk Bertanya Dengan Staf Sebelum Membuat Pesanan

Walaupun tiada perbezaan waktu antara Taiwan dan Malaysia namun menariknya, jam sekitar 2 petang disini bukan lagi waktu makan tengahari tetapi waktu minum petang. Mungkin kerana siang mereka lebih awal. Jadi, kami hanya menikmati kopi dan pencuci mulut sahaja disini.

Pemandangan bangunan moden di hadapan RÊVE Café
Pemandangan bangunan moden di hadapan RÊVE Café

Destinasi 2 : Kaohsiung i-Ride

Selepas itu, kami menuju ke Kaohsiung i-Ride yang terletak tidak jauh dengan RÊVE Café. Menariknya, Kaohsiung i-Ride ini adalah sebuah teater 5D yang membawa pengunjung untuk meneroka dan menjelajah pelbagai tempat menarik di Taiwan secara maya !

Kaohsiung i-Ride
Kaohsiung i-Ride

Pengalaman menjelajah secara maya ini amat luar biasa dan tak sama seperti kita menonton televisyen dan sebagainya kerana ia dilengkapi dengan teknologi yang cukup hebat ! Pengunjung akan duduk di kerusi tergantung dan menghadap skrin bersaiz 20 meter yang membuatkan pemandangan anda seolah realiti !

Panggung ini juga dilengkapi teknologi multi-deria di mana ia mengeluarkan bau-bau tertentu, audio yang hebat, angin, serta air.

Kaohsiung i-Ride

Kami tidak dibenarkan untuk membuat rakaman ketika di dalam dewan teater. Namun, anda boleh tonton video dari Brogent Technologies untuk mendapat gambaran lebih jelas berkenaan i-Ride.

Serius kami kata, pengalaman ini cukup menarik dan anda wajib ke i-Ride apabila ke Taiwan ! Mengikut penerangan staff disana, mereka mempunyai cawangan di Taipei juga namun Kaohsiung adalah cawangan utama mereka.

Destinasi 3 : Pier 2

Selesai di i-Ride, kami mengambil angin petang, bersiar-siar di sekitar Love Pier, Glory Pier dan juga Pier 2 Art Centre. Sambil menikmati indah dah tenangnya Bandar Kaohsiung, kami masih lagi menghirup udara yang segar disini.

Pemandangan Bangunan Ikonik Kaohsiung Music Centre dari Glory Pier.
Pemandangan Bangunan Ikonik Kaohsiung Music Centre dari Glory Pier.
Kredit Gambar : Kaohsiung Travel

Kawasan di sekitar sini amat ikonik, bersejarah dan cantik. Antara bangunan ikonik adalah Kaohsiung Music Centre dan Great Harbour Bridge yang boleh berputar bagi memberi laluan buat kapal.

Pemandangan Great Harbour Bridge Pada Waktu Malam
Pemandangan Great Harbour Bridge Pada Waktu Malam
Laluan Persisiran di Glory Pier.
Kredit Gambar : Kaohsiung Travel
Laluan Persisiran di Glory Pier.
Kredit Gambar : Kaohsiung Travel

Pier 2 Art Centre pula pada umumnya cukup bersejarah kerana tapak ini pada asalnya adalah gudang semasa zaman pendudukan Jepun di Taiwan. Bangunan tersebut masih lagi kekal dan diubah kegunaan menjadi kafe, kedai dan sebagainya.

  • Alamat : No. 31號, Haibian Rd, Lingya District, Kaohsiung City, Taiwan 802
  • Pautan Lokasi : Klik Di Sini

Destinasi 4 : Chen Lili Indonesian Restaurant

Selesai bersiar-siar dan mengambil angin hingga ke malam, perut pun sudah mula berkeroncong. Kami ke sebuah restoran masakan Indonesia yang terletak di Kaohsiung iaitu Chen Lili Indonesian Restaurant.

image 7
Bahagian Hadapan Chen Lili Indonesian Restaurant
Chen Lili Indonesian Restaurant

Rupanya restoran ini terkenal juga, ramai pengunjung dari Indonesia dan Malaysia datang untuk menjamu selera ke sini. Buktinya ? Dinding-dinding di restoran ini dipenuhi dengan autograf pengunjung mereka. Salah seorangnya adalah Ayda Jebat !

Pengunjung menurunkan autograf mereka di dinding restoran ini, termasuk Ayda Jebat !
Pengunjung menurunkan autograf mereka di dinding restoran ini, termasuk Ayda Jebat !

Kami tak tahu sangat nama masakan dan lauk pauk yang dipesan, kami tau makan je. Tapi sangat sedapp, memang licinlah kami makan kesemuanya. Alhamdulillah !

Selain menghidangkan makanan yang Halal dan sedap, mereka juga menyediakan ruang untuk solat di tingkat atas tetapi ianya tidak besar. Boleh muat 2 orang pada satu masa. Jadi, jika anda datang ke sini, anda boleh menumpang untuk solat juga. Ini lokasinya :

  • Alamat : No. 276號, Wufu 4th Rd, Yancheng District, Kaohsiung City, Taiwan 803
  • Pautan Lokasi : Klik Di Sini
  • Status Halal : Halal

Destinasi 5 : CHATEAU de CHINE Kaohsiung

CHATEAU de CHINE Kaohsiung
CHATEAU de CHINE Kaohsiung

Dah malam, baru kami sampai ke hotel penginapan iaitu CHATEAU de CHINE Kaohsiung. Hotel ini bertaraf 4 bintang tapi bagi kami ia sangat-sangat mewah ! Cuba tengok bilik ni !

CHATEAU de CHINE Kaohsiung
Katil di CHATEAU de CHINE Kaohsiung

Hotel ini merupakan Hotel Mesra Muslim dan diiktiraf sebagai salah satu destinasi 'Muslim Friendly Tourism' oleh 'The Chinese Muslim Association'.

CHATEAU de CHINE Kaohsiung
Papan pengiktirafan dari The Chinese Muslim Association

Antara inisiatif pihak hotel bagi melayan tetamu Muslim adalah mereka menyediakan arah kiblat, jadual waktu solat dan sejadah di dalam bilik penginapan. Selain itu, mereka juga menyediakan menu makanan yang mesra muslim pada waktu sarapan.

CHATEAU de CHINE Kaohsiung
Tanda Arah Kiblat Di Dalam Bilik Penginapan
CHATEAU de CHINE Kaohsiung
Sejadah Turut Disediakan Di Dalam Bilik Penginapan

Ruangan tandas juga amat mewah dan buat kami ternganga ! Rasanya cukup nikmat jika dapat berendam di dalam tab mandi yang disediakan, tambah-tambah pula apabila keletihan setelah berjalan seharian.

CHATEAU de CHINE Kaohsiung
Tab Mandi di CHATEAU de CHINE Kaohsiung
CHATEAU de CHINE Kaohsiung
Sinki Tandas di CHATEAU de CHINE Kaohsiung

Cuma sayangnya kami tak sempat gunakan kesemua fasiliti yang ada disebabkan kami harus berangkat keluar meninggalkan hotel sejurus selepas sarapan pada esok pagi !

Sebagai ringkasan, jemput tengok travelog pendek yang kami sediakan untuk hari pertama kami berada di Taiwan !

@surgaroute Replying to @surgaroute Hari pertama trip 6Hari5Malam ke Taiwan ! @taiwantourismmy #TaiwanTourismmy #TaiwanLanternFestival #salamtaiwan ♬ jazzy hip hop beat (battle)(901201) - RIKIYA

Hari 2

Cukup beberapa jam rehat dan tidur, hari ini kami mulakan pagi dengan bersarapan di hotel CHATEU de CHINE. Bagi pengunjung Muslim, hotel ini ada menyediakan beberapa menu vegetarian untuk anda menjamu selera.

CHATEAU de CHINE Kaohsiung
Antara menu sarapan pagi yang sesuai buat pengunjung Muslim di CHATEAU de CHINE Kaohsiung

Antara menu sarapan pagi yang sesuai buat pengunjung Muslim di CHATEAU de CHINE Kaohsiung

Antara menu sarapan pagi yang sesuai buat pengunjung Muslim di CHATEAU de CHINE Kaohsiung

Antara menu sarapan pagi yang sesuai buat pengunjung Muslim di CHATEAU de CHINE Kaohsiung

Antara menu sarapan pagi yang sesuai buat pengunjung Muslim di CHATEAU de CHINE Kaohsiung

Mencuba Pengangkutan Awam

Walaupun sepanjang trip ini bas telah disediakan, namun pada pagi hari ke-2 ini kami dibawa untuk merasai menaiki pengangkutan awam yang ada di Kaohsiung. Bagi kami, pengangkutan awam di Kaohsiung agak lengkap. Bukan sahaja MRT, LRT dan bas tetapi mereka turut mempunyai perkhidmatan feri !


Antara menu sarapan pagi yang sesuai buat pengunjung Muslim di CHATEAU de CHINE Kaohsiung
Peta Transit di Kaohsiung
Easy Card yang digunakan bagi pembayaran pengangkutan awam di Taiwan
Easy Card yang digunakan bagi pembayaran pengangkutan awam di Taiwan

Kami diberikan kad transit Easy Card bagi pembayaran pengangkutan awam. Untuk senang faham, ia seperti kad touch N go yang sering kita gunakan di Malaysia.

Yanchengpu Station
Pintu masuk ke stesen MRT Yanchengpu

Perjalanan kami dimulakan dengan menaiki MRT dari stesen Yanchengpu menuju ke stesen Sizihwan sebelum berjalan kaki kira-kira 10 minit untuk ke Terminal Feri Gushan atau Gushan Ferry Pier.

Gushan ferry Pier
Feri di Cijin
Antara feri yang digunakan bagi membawa penumpang

Kalau anda nak tahu, feri di sini mempunyai 2 tingkat. Tingkat pertama adalah bagi motosikal manakala kerusi untuk penumpang disediakan di bawah.

Keadaan di dalam feri di Cijin
Keadaan di dalam feri

Destinasi 6 : Bersiar-siar di Cijin

Feri ini menghubungkan bandar Kaohsiung ke Cijin iaitu sebuah pulau kecil sepanjang 8.5 Kilometer.

Terminal Feri di Cijin
Terminal Feri di Cijin

Saiznya yang tidak terlalu besar membuatkan satu kenderaan dinamakan 'four wheelers' cukup popular dan sering digunakan pelancong bagi bersiar-siar di tempat-tempat menarik sekitar Cijin.

Jika anda bercadang untuk menggunakan kenderaan 'Four Wheelers' ini, anda boleh lihat deretan 'four wheelers' diletakkan berhadapan dengan terminal feri di Cijin.

Deretan Kenderaan Four Wheelers di Cijin
Kenderaan 'Four Wheelers' Yang Sering Digunakan Pelancong di Cijin

Sebenarnya, Cijin adalah antara pusat tumpuan awal Kaohsiung pada zaman dahulu. Jadi, tak hairanlah pulau kecil ini mempunyai pelbagai tapak sejarah.

Papan Tanda Cijin
Papan Tanda Cijin

Antara kawasan bersejarah di Cijin adalah Kaohsiung Lighthouse yang dibina pada 1883 dan Cihou Fort yang dibina pada 1720 di Mount Cihou semasa Taiwan berada di bawah pemerintahan Dinasti Qing !

Kaohsiung Lighthouse
Kaohsiung Lighthouse

Nak mendaki ke tapak-tapak bersejarah ini boleh tahan mencabar juga, tapi bila anda sampai ke puncak, kepenatan anda pasti terubat apabila anda dihidangkan dengan pemandangan Cijin dan Pier 2 Kaohsiung yang sangat memukau !

Pemandangan Pier 2 Kaohsiung dan Cijin dari Mount Cihou
Pemandangan Pier 2 Kaohsiung dan Cijin dari Mount Cihou

Antara tempat lain yang menarik di Cijin adalah pantai dan pemandangan lautnya. Salah satu laluan untuk melihat pemandangan laut adalah melalui Tunnel of Stars yang dibina semasa zaman penjajahan Jepun, dan dahulunya digunakan oleh tentera.

Cijin Tunnel of Stars

Terowong ini melalui bahagian bawah Mount Cihou, sebaik sahaja anda melepasi terowong ini, anda akan disajikan dengan pemandangan tebing dan laut biru yang cukup mempesona !

Tunnel of Stars
Pemandangan tebing dan laut setelah keluar dari Tunnel of Stars

Destinasi 7 : Masjid Kaohsiung

Selesai di Cijin kami menunaikan solat di Masjid Kaohsiung. Masjid yang kedua terbesar di Taiwan ini dibina pada 1990 dan terdiri dari 3 tingkat.

Masjid Kaohsiung
Masjid Kaohsiung

Tingkat pertama menempatkan asrama lelaki dan perempuan, ruang solat muslimah serta pusat aktiviti wanita. Tingkat kedua pula menempatkan dewan solat utama, pusat pembelajaran bahasa arab dan juga bilik pameran kebudayaan islam. Tingkat ketiga menempatkan bilik tetamu, pusat aktiviti belia, pejabat serta dapur.

  • Alamat : No. 11號, Jianjun Rd, Lingya District, Kaohsiung City, Taiwan 80285
  • Pautan Lokasi : Klik disini

Masjid ini juga mempunyai perpustakaan, pejabat imam, pejabat pentadbiran. Senang cerita masjid ini memang berfungsi penuh dan melebihi dari sekadar rumah ibadat.

Destinasi 8 : Kaohsiung Halal Restaurant

Kaohsiung Halal restaurant

Kami kemudian menikmati hidangan tempatan di sebuah restoran halal, 'Kaohsiung Halal Restaurant' yang terletak bersebelahan dengan Masjid Kaohsiung. Restoran ini menyediakan menu yang berasaskan daging !

Kaohsiung Halal restaurant
  • Alamat : No. 13號, Jianjun Rd, Lingya District, Kaohsiung City, Taiwan 802
  • Pautan Lokasi : Klik Disini
  • Status Halal : Halal & Dimiliki Muslim

Destinasi 9 : Hotel Queena Plaza Tainan

Selepas solat, kami bergerak ke bandar yang lain iaitu Tainan, mengambil kira-kira 1 jam perjalanan dari Kaohsiung. Kami mendaftar masuk ke hotel penginapan terlebih dahulu, iaitu Queen Plaza Tainan. Sebuah hotel yang bertaraf 5 bintang.

Queena Plaza Tainan

Sama seperti hotel penginapan kami sebelum ini, Hotel Queena Plaza juga merupakan salah satu hotel mesra Muslim yang menyediakan sejadah dan takwim solat di dalam bilik. Mereka juga menyediakan menu yang sesuai untuk Muslim.

Queena Plaza Tainan

Destinasi 10 : Taiwan Lantern Festival

Selepas berehat sebentar, kami bergerak menuju ke Festival Tanglung Taiwan ataupun Taiwan Lantern Festival edisi ke-35 yang kembali berlangsung di Tainan selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2008, iaitu 16 tahun yang lalu !

Taiwan Lantern Festival
Kredit Gambar : Taiwan Tourism Administration

Festival tanglung ini menampilkan dua kawasan pameran utama, "High Speed Rail Display Zone" iaitu tapak pameran yang terletak berhampiran stesen keretapi laju Tainan dan juga "Anping Display Zone'' iaitu kawasan pameran yang terletak di bandar Anping yang penuh sejarah. Kami mengunjungi kawasan pameran di 'High Speed Rail Display Zone'.

Taiwan Lantern Festival
Kredit Gambar : Taiwan Tourism Administration

Secara keseluruhan, terdapat lebih 300 karya seni tanglung dipamerkan di seluruh kawasan pameran pada tahun 2024 ini.

"High Speed Rail Display Zone" bersaiz kira-kira 42 Hektar terdiri daripada tujuh zon pameran besar di sekitar stesen keretapi berkelajuan tinggi, Pusat Pesidangan Tainan (Tainan International Conference Centre) atau Tainan ICC.

Taiwan Lantern Festival
Kredit Gambar : Taiwan Tourism Administration

Terdapat pelbagai tema tanglung namun yang paling menarik adalah tanglung utama pada tahun ini yang dinamakan 'Dragon Comes to Taiwan' bersempena dengan tahun 2024 yang merupakan tahun naga mengikut kalendar lunar.

Taiwan Lantern Festival
Kredit Gambar : Taiwan Tourism Administration

Tanglung naga itu diinspirasikan dari patung naga yang berada di Kuil Daitian yang ada di Tainan. Ia direka dan dihasilkan oleh artis terkenal, Peng Li-Chen dan tanglung nafa tersebut berketinggian 18 meter. Secara keseluruhan, tanglung naga beserta tapaknya mencapai ketinggian 22 meter atau bersamaan dengan bangunan 7 tingkat !

Lebih mengagumkan lagi, tanglung gergasi itu boleh berputar, manakala lengan bawah kiri dan kanan naga juga menggunakan kawalan elektromekanikal, menjadikan ia istimewa berbanding tanglung utama festival pada tahun-tahun yang lepas.

Taiwan Lantern Festival berlangsung dari 24 Februari 2024 sehingga 10 Mac 2024. Untuk maklumat lanjut, layari https://2024taiwanlanternfestival.org. Festival ini akan kembali berlangsung pada 2025, di Taoyuan.

Hari 3

Pagi hari ke-3, kami menyelesaikan tugasan media berkaitan Taiwan Lantern Festival 2024, kemudian kami menikmati hidangan tengahari di sebuah restoran masakan Turki iaitu Private Chef Kitchen.

Destinasi 11 : Turkey Private Chef Kitchen

Turkey Private Chef Kitchen

Sesuai namanya, restoran ini menyediakan makanan dari Turki. Rasanya memang asli kerana ia diusahakan oleh orang Turki yang menetap disini.

Namun, yang paling mengujakan kami adalah restoran Turki disini turut menyediakan nasi dan lauk-pauk dengan selera Asia Timur, berbeza dengan restoran Turki yang kami pernah pergi sebelum ini yang hanya menyediakan menu berasaskan roti. Mungkin menu-menu yang berkonsepkan nasi dan lauk-pauk dibuat disebabkan asimilasi budaya yang berlaku.

  • Alamat : No. 131, Kaishan Rd, West Central District, Tainan City, Taiwan 700
  • Pautan Lokasi : Klik Disini
  • Status Halal : Halal

Destinasi 12 : Ten Drum Cultural Village

Kemudian, kami bersiar-siar dan beraktiviti di Ten Drum Cultural Village. Lokasi ini sangat unik kerana Ten Drum Culture Village dengan keluasan kira-kira 7.5 hektar, satu ketika dahulu merupakan 22 gudang gula lama yang dibina semasa Zaman Penjajahan Jepun.

Ten Drum Cultural Village
Ten Drum Cultural Village

Pada tahun 2005 ia telah digunakan semula. Melalui perancangan yang teliti, nafas baru telah diberikan kepada kilang gula berusia berabad-abad yang tidak digunakan ini.

Antara Spot Bergambar Yang Unik di Ten Drum Cultural Village
Antara Spot Bergambar Yang Unik di Ten Drum Cultural Village

Taman ini menggabungkan muzik gendang Taiwan yang inovatif dari Ten Drum Band. Pada waktu malam, Ten Drum Culture Village menjadi taman yang diterangi cahaya.

Ten Drum Cultural Village
Ten Drum Cultural Village

Taman ini juga mempunyai gelongsor setinggi lima tingkat, zipline, bungee jump dan pelbagai lagi. Penambahan terbaru, terjunan bebas setinggi 7 tingkat yang menarik pelancong yang mencari keseronokan.

Destinasi 13 : Anping Canal Cruise

Anping digelar bak kota Purba disebabkan kota ini adalah kota terawal yang dibangunkan di Taiwan dan Tainan juga pernah menjadi ibu negara semasa Dinasti Qing.

Antara Spot Bergambar Yang Unik di Ten Drum Cultural Village

Salah satu cara terbaik meneroka kota purba ini adalah dengan menelusuri terusan utama di Jalan Huanhe sehingga ke Jambatan An-Yi di mana pengunjung boleh melihat pemandangan bandar bersejarah ini di sepanjang terusan.

Pengunjung dibawa dengan bot untuk bersiar-siar, lebih menarik perjalanan anda akan ditemani dengan bunyi muzik langsung yang dimainkan oleh krew !

Anping Canal Cruise

Pemandu pelancong turut bersama untuk menerangkan mengenai bangunan atau monumen ikonik sepanjang terusan namun beliau bertutur dalam bahasa Mandarin.

Destinasi 14 : Mama Mia Resto

Untuk makan malam, kami singgah ke sebuah rumah makan Mama Mia Resto yang diusahakan oleh orang Indonesia disini.

Mama Mia Resto

Rumah makan ini agak kecil namun mereka menyediakan makanan yang amat sedap ! Sampai ke hari ini kami masih teringat-ingat menu yang dihidangkan kepada kami !

Mama Mia Asia Foods
Nasi Tumpeng
Mama Mia Asia Foods
Pilihan lauk yang boleh diambil secara buffet

Hari 4

Hari ke-4 adalah hari perjalanan kami menuju ke Taipei, iaitu ibu negara Taiwan dengan menggunakan 'High Speed Rail' atau keretapi laju. Perjalanan kami bermula dari stesen Chiayi dan mengambil masa selama 1 jam 30 minit untuk ke Taipei.

Tiket Keretapi Laju High Speed Rail

Destinasi 15 : Halal Beef Noodle House

Setibanya kami di Taipei, kami terus menuju ke sebuah restoran yang menyediakan makanan terkenal Taiwan, iaitu Beef Noodle. Beef Noodle ni memang ada di mana-mana bahagian di seluruh Taiwan. Tetapi, restoran ini menyediakan Beef Noodle yang Halal !

Halal Beef Noodle di Taipei

Destinasi 16 : Vigor Kobo DIY Pineapple Cake

Kami seterusnya ke sebuah kilang yang membuat pelbagai jenis biskut, namun yang paling terkenal adalah 'pineapple cake' atau bagi kita, ia seperti tart nenas. Selain daripada membeli buah tangan, pengunjung juga dibenarkan mencuba untuk membuat sendiri pineapple cake mereka !

Mencuba Membuat tart Nenas di Vigor Kobo

Kami turut tidak melepaskan peluang mencuba sendiri membuat pineapple cake, dan gambar di bawah adalah hasilnya, Tadaaaa !

Mencuba Membuat tart Nenas di Vigor Kobo

Vigor Kobo adalah antara perusahaan yang mendapat pengakuan Halal dari badan autoriti disini. Jadi, kami amat sarankan untuk anda berkunjung ke sini bagi mencuba sendiri proses membuat pineapple cake dan juga membeli pineapple cake yang halal disini !

Destinasi 17 : Saturn Landing Turkish Coffee

Kami minum petang di sebuah kafe dengan menu yang diinspirasikan dari Turki bermula dari kopi sehinggakan manisan Turki. Antara yang ada disini adalah Kunafa serta Baklava !

Saturn Landing Turkish Coffee

Kata pemandu pelancong kami, kafe ini tidak menerima pengunjung 'walk-in', jadi anda membuat tempahan dahulu sebelum mengunjungi kafe ini. Beliau sendiri katanya, menempah slot 2 minggu lebih awal.

Saturn Landing Turkish Coffee
  • Alamat : No. 14-2號, Lane 75, Yongkang St, Da’an District, Taipei City, Taiwan 106
  • Pautan Lokasi : Klik Disini
  • Status Halal : Mesra Muslim

Destinasi 18 : Gusto Pizza

Tidak melepaskan peluang menerjah sebanyak yang boleh restoran-restoran halal yang ada di Taipei, kami seterusnya menikmati makan malam di Gusto Pizza. Ia sebuah kedai kecil yang menyajikan 'woodfire oven handmade pizza'.

Saturn Landing Turkish Coffee
  • Alamat : No. 74之1號, Lianyun St, Zhongzheng District, Taipei City, Taiwan 100
  • Pautan Lokasi : Klik Disini
  • Status Halal : Mesra Muslim

Destinasi 19 : Raohe Street Night Market

Masyarakat Taiwan dan juga budaya 'night market' memang tidak dapat dipisahkan, orang kata perjalanan anda tak lengkap jika tidak ke 'night market'. Maka, kami turut bersiar-siar ke salah satu 'night market' paling terkenal di Taipei iaitu Raohe Street Night Market.

Raohe Street Night Market

Buat pengunjung Muslim, anda boleh melihat pakaian, kasut dan cenderamata yang dijual disini. Namun, jika anda datang untuk mencari makanan, disini bukan tempatnya kerana sangat sedikit gerai yang menjual makanan yang sesuai untuk Muslim.

  • Alamat : Raohe St, Songshan District, Taipei City, Taiwan 105
  • Pautan Lokasi : Klik Disini

Destinasi 20 : Fuji Grand Hotel

Malam itu, kami mendaftar masuk ke sebuah hotel iaitu Fuji Grand Hotel yang terletak di New Taipei City.

Fuji Grand Hotel New Taipei City

Hari 5

Untuk hari ke-5, kami bersarapan dahulu di Fuji Grand Hotel yang terletak di New Taipei City. Kami sangat terkejut kerana hotel ini menyediakan ruangan khas buat tetamu Muslim !

Fuji Grand Hotel New Taipei City
Ruangan Halal Untuk Tetamu Muslim

Bagi tetamu Muslim, terdapat menu khas disediakan dan anda hanya perlu membuat pesanan pada pelayan, jadi anda tidak perlu ke meja buffet untuk mengambil makanan !

Destinasi 21 : Yangmingshan National Park

Yangmingshan National Park. Kredit Gambar : Taiwan Tourism
Yangmingshan National Park. Kredit Gambar : Taiwan Tourism

Destinasi pertama kami di hari ke-5 adalah Yangmingshan National Park yang terletak kira-kira 1 jam perjalanan dari Bandaraya Taipei. Yangmingshan National Park > Taipei City > Tourism Administration, Republic  of China (Taiwan)

Yangmingshan National Park adalah taman negara yang paling terkenal di Taiwan disebabkan lokasinya yang berdekatan Taipei, mempunyai gunung berapi yang masih lagi aktif, dan juga air panas. Keluasan keseluruhan Yangmingshan National Park adalah 11,338 Hektar.

Namun, antara tarikan utama Yangmingshan National Park adalah 'Flower Clock' dengan diameter 22 kaki ! Jika ke Yangmingshan National Park, memang wajib untuk bergambar disini !

Yangmingshan

Destinasi 22 : Kunming Islamic Restaurant

Untuk makan tengahari pula, kami kembali ke Bandar Taipei untuk menikmati hidangan halal di Kunming Islamic Restaurant. Paling tak sangka, restoran ini juga mempunyai teh tarik ala Malaysia ! Memang benar-benar mengubat kerinduan pada tanah air kita.

Kunming Islamic Restaurant
Kunming Islamic Restaurant
  • Alamat : No. 26號, Lane 81, Fuxing N Rd, Songshan District, Taipei City, Taiwan 105
  • Pautan Lokasi : Klik Disini
  • Status Halal : Halal

Destinasi 23 : Taipei Grand Hotel

Destinasi seterusnya, kami ke sebuah hotel yang terulung di Taiwan iaitu Taipei Grand Hotel. Ia merupakan hotel pertama yang dibina di Taiwan bagi menerima tetamu besar dan VIP yang hadir ke negara itu.

Taipei Grand Hotel

Hotel setinggi 14 tingkat ini mempunyai 487 bilik dan pernah menerima ramai pemimpin besar dunia dan selebriti. Antaranya adalah Mohammad Reza Pahlavi, bekas pemimpin Iran yang merupakan tetamu VIP pertama hotel tersebut dan Lee Kuan Yew yang merupakan tetamu VIP dengan kunjungan terbanyak ke hotel tersebut.

Disebabkan hotel ini menerima kehadiran ramai pembesar, maka tidak hairanlah jika di dalamnya terdapat terowong kecemasan rahsia ! Terowong tersebut dibina sebagai jalan keluar yang mudah jika sesuatu tidak diingini berlaku.

Taipei Grand Hotel

Sejak 2018, terowong tersebut dibuka untuk lawatan orang ramai. Jadi, walaupun tidak menginap disini, anda boleh datang untuk membuat lawatan di sekitar hotel ini !

Hari 6

Destinasi 24 : Taipei 101

Hari terakhir, kami singgah ke bangunan paling ikonik dan mercu tanda bagi negara Taiwan iaitu bangunan Taipei 101. Bangunan ini pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia memintas Menara Berkembar Petronas pada tahun 2004. Namun, pada tahun 2009 ia dipintas oleh bangunan Burj Khalifa.

Taipei 101

Bagaimanapun, rakyat Taiwan masih lagi boleh berbangga kerana bangunan ini adalah bangunan pertama di dunia yang melebihi ketinggian 500 meter. Sehingga 2023, bangunan Taipei 101 adalah bangunan ke-11 tertinggi di dunia.

Destinasi 25 : Masala Art

Masala Art

Restoran Masala Art merupakan destinasi terakhir kami di Taiwan sebelum kami berangkat pulang ke Malaysia. Kami ke sini untuk menikmati hidangan tengahari terakhir kami. Restoran yang terletak di Taipei Expo Park ini menyediakan makanan India yang halal. Memang sedap !

  • Alamat : No. 1號, Yumen St, Zhongshan District, Taipei City, Taiwan 10491
  • Pautan Lokasi : Klik Disini
  • Status Halal : Mesra Muslim

Berangkat Pulang ke Kuala Lumpur

Seterusnya, kami menuju ke Lapangan Terbang Taipei Taoyuan yang merupakan lapangan terbang utama di seluruh Taiwan. Penerbangan kami pada jam 3:55 petang dan tiba di Terminal 2 KLIA pada jam 8:50. Berbeza dengan penerbangan ke Kaohsiung, penerbangan dari atau ke Taipei mengambil masa yang lebih sedikit disebabkan Taipei yang terletak di Utara Taiwan, berbanding Kaohsiung di Selatan Taiwan.

5 1 vote
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram