malaysia airlines catat untung

Malaysia Airlines Kembali Catat Untung Setelah 10 Tahun !

Dikemas Kini: 27 Mac 2024
Surga Route

Malaysia Aviation Group (MAG) kembali untung dengan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM766 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023 (TK2023), berbanding kerugian bersih sebanyak RM344 juta pada TK2022.

Kumpulan itu turut merekodkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM13.85 bilion, meningkat 31 peratus berbanding RM10.61 bilion pada TK2022.

Ia juga mencatatkan keuntungan operasi bersih sebanyak RM889 juta bagi tahun kewangan 2023 (TK2023), peningkatan sebanyak 64 peratus berbanding RM540 juta yang dicatatkan pada TK2022.

Sehingga 31 Dis, 2023, baki tunai MAG kekal kukuh pada RM4.27 bilion, yang menunjukkan kestabilan dari segi kewangan dan pandangan jauh strategiknya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Kapten Izham Ismail menyifatkan keuntungan bersih pertama kumpulan adalah satu pencapaian penting dan prestasi kukuh trafik penumpang daripada segmen premium, aliran rangkaian antarabangsa yang diperhebat, dan pengurusan kapasiti yang aktif.

"Kejayaan ini dicapai walaupun berdepan kos operasi dan buruh yang lebih tinggi, ringgit yang melemah, cabaran dalam rantaian bekalan disebabkan peningkatan kos dan komitmen penghantaran yang tidak menentu, harga bahan api dan kadar faedah yang tinggi," tambah Izham.

Sementara itu, jumlah hasil bagi Malaysia Airlines Bhd (MAB) meningkat sebanyak 45 peratus tahun ke tahun, disokong oleh kapasiti yang lebih tinggi, permintaan kukuh, dan tumpuan kepada sektor antarabangsa bagi segmen perniagaan penumpang.

MAB mencatat keuntungan operasi yang jauh lebih tinggi sebanyak RM1.10 bilion daripada RM80 juta pada 2022, manakala kapasitinya berada pada tahap 90 peratus.

Sementara itu, bahagian kargo kumpulan, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), mencatatkan keuntungan operasi yang lebih rendah berikutan permintaan muatan kargo yang semakin lemah dan persaingan pasaran yang semakin meningkat.

Bagi MAB Engineering Services Sdn Bhd, ia terus mendapat momentum dan menunjukkan prestasi yang baik, dengan pihak ketiga kini menyumbang sebanyak 24 peratus daripada hasilnya.

Kumpulan itu telah mencapai kemajuan ketara dalam pelan pemulihannya iaitu Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 berikutan penstrukturan semula kewangannya yang berjaya pada 2021, memperoleh pendapatan positif sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, pengurangan kerugian fiskal serta aliran tunai operasi yang sihat, kata Izham.

- BERNAMA

0 0 votes
Article Rating
Konsikan Artikel:
Kategori: Tag:

Ditulis oleh Surga Route

Kami kongsikan segalanya berkenaan Halal & Muslim-Friendly Travel.

Baca Juga:
Subscribe
Notify of
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram